Anda di sini

AS catat rekod baharu angka kematian harian COVID-19

Advertisement

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) kelmarin mengumumkan semua penumpang antarabangsa yang melakukan perjalanan ke negara itu perlu mengemukakan keputusan ujian negatif COVID-19, selepas ia mencatatkan rekod baharu dengan hampir 4,500 kematian dalam sehari.

Dasar itu berkuat kuasa 26 Januari dan memperluaskan satu langkah sedia ada yang menyasari Britain, di mana jenis virus yang dikenali sebagai B117 telah dikaitkan dengan peningkatan kes yang drastik.

Ireland, yang kini mencatatkan kadar jangkitan per kapita tertinggi di dunia, kelmarin turut mengumumkan ia telah melanjutkan langkah saringan yang sebelum ini hanya diguna pakai kepada pelawat dari UK dan Afrika Selatan.

“Saringan tidak menghapuskan semua risiko, tetapi apabila digabung dengan tempoh duduk di rumah dan langkah berjaga-jaga harian seperti penggunaan pelitup muka dan penjarakan sosial, ia boleh menjadikan perjalanan lebih selamat,” kata Robert Redfield, selaku pengarah Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS.

AS kekal negara paling teruk terjejas, dengan kira-kira 380,000, atau satu perlima, daripada hampir dua juta kematian di dunia, walaupun menyumbang hanya empat peratus sahaja kepada populasi dunia.

Dalam tempoh 24 jam, AS merekodkan lebih 235,000 kes baharu dan rekod kemati-an tertinggi sebanyak 4,470, menurut kiraan Johns Hopkins pada petang kelmarin.

Juga kelmarin, ahli Demo-krat dalam Dewan Amerika Syarikat menyuarakan kemarahan dengan rakan Republikan yang enggan memakai pelitup muka ketika penggubal undang-undang berlin-dung daripada perusuh yang mengganas dalam bangunan Capitol pada minggu lepas.

“Saya sekarang dalam pengasingan yang ketat, bimbang bahawa saya telah membahayakan kesihatan isteri saya dan marah dengan sikap golongan antipemakai-an pelitup muka yang mementingkan diri dan bongkak,” kata Brad Schneider, wakil Demokrat ketiga yang didapati positif.

Di Kanada pula, wilayah dengan paling ramai penduduk di Ontario meng-arahkan penduduk untuk duduk di rumah selepas unjuran menunjukkan jumlah kes dijangka akan meletup dan membebani hospital dalam masa terdekat.

Namun beberapa berita positif dilaporkan dalam Kesatuan Eropah, yang me-mulakan proses kelulusan bagi vaksin ketiganya kelmarin.

Blok 27 negara itu menjanjikan “garis masa yang cepat” selepas mengesahkan syarikat ubat-ubatan AstraZeneca telah memohon bagi kelulusan untuk suntikan yang ia usahakan bersama Universiti Oxford.

Agensi perubatan EU me-nyatakan keputusan tidak dijangkakan sebelum 29 Januari.

Namun Suruhanjaya Ero-pah kelmarin berkata ia sudah selesai mengadakan rundingan penerokaan bersama makmal bioteknologi Perancis-Austria, Valneva, bagi kemungkinan membeli sebanyak 60 juta dos vaksinnya untuk COVID-19.

Sementara itu Switzerland meluluskan vaksin Moderna, selepas ia menjadi negara pertama di benua Eropah untuk mula menggunakan suntikan Pfizer-BioNTech.

Walau bagaimanapun, saintis Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran, walaupun vaksinasi besar-besaran dijalankan, liputan masih tidak cukup meluas bagi imuniti tahap populasi pada tahun ini.

Belanda menjadi negara terkini di Eropah yang memperketatkan kawalan virus, dengan melanjutkan sekatannya sehingga 9 Februari, termasuk penutupan sekolah dan kedai tidak penting, selain larangan ke atas orang ramai untuk menerima lebih dua orang pelawat di rumah mereka.

Sementara itu presiden Portugal yang berusia 72 tahun Marcelo Rebelo de Sousa kini sudah didapati negatif dalam saringan bagi COVID-19 selepas saringan positif yang memaksanya membatalkan semua acara awam, kata pejabatnya kelmarin, dua minggu sebelum pilihan raya yang dijangka akan dimenanginya.

China menambah sebuah bandar raya dengan lima juta penduduk kepada sebuah kawasan sekatan pergerakan yang semakin meningkat berhampiran Beijing kelmarin, manakala pakar WHO tiba di kota pusat Wuhan untuk mengkaji asal usul penyakit itu di sana.

Malawi kehilangan dua anggota kanan kerajaan akibat virus itu kelmarin, iaitu menteri pengangkutan Sidik Mia dan menteri kerajaan tempatan Lingson Beleka-nyama. — AFP

Advertisement