Anda di sini

WMNFF 2021 akan diadakan di King’s Trioplex, Sibu pada 21 - 24 Januari ini

Advertisement
 Poster WatchMoviesNot Film Festival 2021.
AKAN DATANG: Poster WatchMoviesNot Film Festival 2021.

KUCHING:  Festival Filem WatchMoviesNot (WMNFF 2021) akan berlangsung di King’s Trioplex, Sibu dari 21 hingga 24 Januari ini, dengan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP).

Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dalam kenyataan baru-baru ini berkata, kerjasama baharu antara WMNFF dan UNIMAS ini bermula ketika kurator festival, Chris Ling dan penasihat festival WMNFF, Yow bertemu semula pada awal tahun lalu dan bertukar-tukar aspirasi mereka untuk memupuk penghargaan filem di Sarawak.

“Tema WMNFF 2021 adalah ‘MISSING’. Tema ini agak menarik kerana penganjur berniat mengumpulkan penggemar filem untuk mengingatkan mereka mengenai filem di bandar yang kekurangan budaya filem iaitu Sibu, terutamanya setelah berbulan-bulan pawagam ditutup di seluruh negara”, kata Chris.

Sementara itu, Yow yang juga pensyarah filem UNIMAS berkata, satu sesi soal jawab secara dalam talian akan diadakan bersama pembuat filem dan penonton agar mereka dapat berinteraksi yang sekaligus mematuhi SOP.

“Budaya filem bukanlah sesuatu yang baharu di Sarawak. Pada zaman Brooke, Sarawak mempunyai beberapa pawagam di bandar-bandar besar seperti Kuching dan Sibu yang kini ditukar menjadi kedai atau ditinggalkan sebagai bangunan tua dan uzur.

“Namun, budaya menonton filem di Sarawak menunjukkan trend yang kurang memberangsangkan jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain seperti Sabah, Pulau Pinang dan Selangor,” jelas Yow.

Justeru katanya, WMNFF bertujuan untuk memperluas jangkauan sambil menyampaikan acara budaya yang berpengaruh di Sarawak.

“Untuk itu, festival filem tahun ini akan terus mengetengahkan filem-filem yang dibuat oleh pembuat filem Sarawak dalam segmen yang disebut ‘Sarawak Shorts’ sambil menambahkan segmen baharu yang bertajuk ‘DIRECTOR-IN-FOCUS’.

“Ia juga mempamerkan beberapa filem klasik yang diketuai oleh pengarah Malaysia Allahyarhamah Yasmin Ahmad,” katanya.

WMNFF 2021 dianjur-kan oleh WatchMoviesNot bersama Majlis Perban-daran Sibu dan Enoch Elderly Association serta ditaja oleh Bright.

Festival filem yang diadakan pertama kali pada Januari 2020 itu mendapat sambutannya luar biasa dengan dua pertiga tiket habis terjual.

Tahun ini, tiket akan dijual secara dalam talian bermula seawal 1 hingga 14 Januari dengan harga RM10 bagi setiap filem.

Untuk membeli tiket secara dalam talian, lawati www.eventbrite.com dan cari ‘Festival Filem WatchMoviesNot’.

Selepas tempoh ini, tiket yang dijual di King’s Trioplex semasa festival berlangsung dari 21 hingga 24 Januari, akan dikenakan harga RM15 bagi setiap filem / segmen.

Advertisement