Anda di sini

Lelaki mengaku tak bersalah edar 7.7 kg syabu 

Advertisement
 

KUCHING: Seorang lelaki bekerja sendiri mengaku tidak bersalah apabila didakwa di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, atas pertuduhan mengedar 7.7 kilogram syabu. 

Lai Meng Sun, 39, membuat pengakuan tersebut sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Alexander Siew How Wai. 

Mahkamah memerintahkan kes disebut semula pada 22 Februari depan sementara menunggu lantikan peguam.  

Tiada jaminan ditawarkan dan tertuduh kini direman lanjut di penjara. 

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan itu pada 29 Julai 2020, jam 12.45 tengah hari di Balai Ketibaan Antarabangsa, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK). 

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 39B(2) Akta sama dan jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum gantung sampai mati. 

Menurut laporan terdahulu, tertuduh ditahan susulan pemeriksaan terperinci oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak terhadap bagasi tertuduh yang baharu tiba di LTAK menaiki penerbangan dari Johor pada hari kejadian. 

Pemeriksaan rapi yang dijalankan membawa kepada penemuan 10 bungkusan yang dibaluti 'aluminium foil' mengandungi bahan kristal disyaki dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM405,040. 

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Yong Suk Hui. 

  • oleh
  • Advertisement