Anda di sini

Pasar Malam Siniawan kini semakin popular

Advertisement
 
 

KUCHING: Ketika sektor pelancongan mula berkembang pesat di Sarawak, ramai yang masih jahil mengenai potensi untuk membangunkan sesebuah kawasan itu, sehingga menyebabkan beberapa tempat bersejarah di negeri ini ditinggalkan dan tidak diuruskan dengan baik.

Bazar Siniawan - sebuah bazar berusia lebih 100 tahun yang terletak di pekan Siniawan, kira-kira 26 Kilometer dari sini, adalah antara lokasi bersejarah yang ditinggalkan oleh penduduknya dek penghijrahan ke bandar-bandar baharu, seperti Kuching dan Bau.

Siniawan, sebuah pekan kecil diibaratkan sebagai pekan koboi dalam filem Wild West dengan hanya satu jalan, suasananya begitu lengang pada hari-hari biasa.

Jalan utama di pekan lama ini, diapit oleh dua struktur barisan 24 premis bangunan kayu. Semua dinding bangunannya diperbuat daripada kayu yang pastinya menggamit suasana nostalgia zaman dahulu. Meskipun dinding luar bangunan sesetengah premis telah diganti, namun struktur asal kayu pada bangunan itu masih dikekalkan.

Apa yang menarik, pekan kecil ini semakin popular dengan aktiviti pasar malamnya pada setiap hujung minggu yang menawarkan pelbagai pilihan juadah tempatan dan pastinya menjadi lokasi pasar malam yang wajib dikunjungi bagi setiap pelawat ke bandar raya Kuching.

 

Mengimbau asal-usul Siniawan, ia merupakan sebuah bandar perdagangan yang berkembang pesat dan dihuni oleh kebanyakannya masyarakat berketurunan Hakka dan hampir menjadi bandar tinggal pada suatu masa dahulu.

Namun, atas inisiatif penduduknya, pekan kecil ini bertukar wajah dengan memperkenalkan model perniagaan baharu bagi pekan ini sejak 2010 sekali gus merancakkan aktiviti ekonomi komuniti di Siniawan.

Perniagaan konsep baharu itu iaitu Pasar Malam hujung minggu, kini semakin menjadi buah mulut penduduk tempatan mahupun pelawat termasuk pelancong asing, didapati mula berkunjung ke pekan kecil ini pada setiap hujung minggu. Pasar Malam Siniawan ini beroperasi mulai pukul 6 petang hingga 11 malam pada Jumaat dan Sabtu manakala Ahad, mulai pukul 5 petang hingga 11 malam.

Jika anda berada di Kuching dan kebetulan ia jatuh pada hujung minggu, Pasar Malam Siniawan seharusnya menjadi lokasi persinggahan yang wajib anda lawati.

"Berbaloi berkunjung ke bazar ini, terdapat banyak pilihan makanan yang enak," kata Egberg Koh, 61, dari Kuala Lumpur yang pernah mengunjungi bazar ini sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Mac lepas.

Katanya, kali pertama beliau mengunjungi bazar berkenaan ialah pada awal 1980-an dan bazar itu lengang dan sepi.

"Ia umpama sebuan bandar tinggal dengan hanya beberapa kedai beroperasi, tetapi semasa kunjungan saya di sana Mac lepas, saya terkejut dengan perubahan pekan ini," kata Koh kepada Bernama.

 

Seorang lagi pengunjung, Carol Chong, 58, dari Selangor turut teruja dengan perubahan bazar berkenaan dan mengakui persekitaran di pekan ini kini semakin meriah dan banyak pilihan makanan dengan harga yang berpatutan.

Terdapat gerai-gerai di sepanjang jalan dengan meja disusun sederetan dengan bangunan kedai kayu itu. Pelbagai pilihan makanan dijual, antaranya masakan Cina, makanan tradisional Melayu dan kudapan tempatan seperti makanan ringan dan kek.

Setelah merasai sendiri keseronokan lawatan ke pasar malam itu, Koh dan Carol memasang niat untuk mengulangi lawatan ke pekan kecil itu malah akan turut mempengaruhi rakan-rakan dari Semenanjung untuk berkunjung ke pekan itu.

Malangnya, pelaksanaan PKP akibat pandemik COVID-19 menyebabkan lawatan ke pekan ini terpaksa ditangguhkan.

"Kunjungan ke sini (Sarawak) ditunda, namun kami pasti akan kembali bersama rakan-rakan yang begitu teruja setelah melihat gambar dan mendengar cerita kami,” kata Carol. - BERNAMA

  • oleh
  • Advertisement