Anda di sini

Republik Afrika Tengah tuduh bekas presiden cuba rampas kuasa

Advertisement
 Presiden Republik Afrika Tengah Faustin Archange Touadéra (tengah), menyapa para penyokongnya ketika berkempen untuk pilihan raya di sebuah stadium berkapasiti 20,000 tempat duduk sambil diiringi pengawal keselamatan, askar upahan Rusia dan anggota pasukan pengaman PBB dari Rwanda di Bangui, kelmarin. — Gambar AFP
TEGANG: Presiden Republik Afrika Tengah Faustin Archange Touadéra (tengah), menyapa para penyokongnya ketika berkempen untuk pilihan raya di sebuah stadium berkapasiti 20,000 tempat duduk sambil diiringi pengawal keselamatan, askar upahan Rusia dan anggota pasukan pengaman PBB dari Rwanda di Bangui, kelmarin. — Gambar AFP

BANGUI: Kerajaan negara yang tidak pernah henti-henti bergolak Republik Afrika Tengah (CAR) kelmarin menuduh mantan presiden Francois Bozize cuba melakukan rampasan kuasa menjelang pilihan raya pada minggu ini, selepas tiga kumpulan pemberontak utama bergabung dan mengugut untuk berarak ke ibu kota Bangui.

Pemberontak yang baharu sahaja bergabung menduduki kawasan yang besar di negara itu dan pengumuman mereka yang mengejutkan meningkatkan lagi ketegangan menjelang pilihan raya presiden dan umum pada 27 Disember, di mana pembangkang bimbang mengenai penipuan besar-besaran dalam pemilihan tersebut.

Pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah dikerahkan untuk menangani serangan baharu, manakala Setiausaha Agung PBB merayu semua bertenang dan menyeru kepada semua pihak untuk memastikan pilihan raya yang boleh dipercayai serta keamanan.

Kerajaan berkata bekas presiden Bozize kini berada berhampiran kota Bossembele, kira-kira 150 kilometer ke barat laut Bangui dan berhasrat untuk berarak ke ibu negara bersama penyokongnya.

“Ini kelas satu cubaan kudeta yang dikecam oleh kerajaan pada waktu pilihan raya sekarang,” kata jurucakap kerajaan Ange-Maxime Kaagui.

“Kenapakah mengangkat senjata terhadap warga negara anda sendiri?” tanya Presiden Faustin-Archange Touadera di satu rapat umum di Bangui, dan menambah “lembaga pilihan raya negara dan Mahkamah Perlembagaan telah memberi jaminan bahawa pilihan raya akan diadakan mengikut jadual”.

Kaagui menuduh tentera Bozize “membunuh tiga anggota keselamatan seperti pengecut” tetapi tidak memberikan sebarang maklumat lanjut.

Namun Vladimir Monteiro, seorang jurucakap bagi misi MINUSCA PBB di CAR, berkata “tiada perkembangan besar” dilaporkan mengenai kedudukan pemberontak dalam tempoh 24 jam sebelum itu.

Sementara itu tiga kumpulan bersenjata terbabit berkata mereka telah memutuskan “untuk bergabung menjadi satu entiti dipanggil Perikatan Patriot bagi Perubahan atau CPC, di bawah pemerintah bersatu” dan menjemput “semua kumpulan bersenjata lain untuk ikut serta”.

Mereka menggesa anggota untuk “menghormati dengan prihatin integriti populasi awam” dan membenarkan kenderaan milik PBB dan kumpulan kemanusiaan untuk bergerak dengan bebas.

Tentera MINUSCA yang mempunyai 11,000 anggota memberi amaran kelmarin bahawa ia akan “menggunakan semua kaedah yang ada padanya termasuk pesawat untuk mencegah keganasan”.

Bozize, yang kembali baru-baru ini selepas bertahun-tahun hidup dalam buangan, dilarang daripada bertanding dalam pilihan raya oleh mahkamah tertinggi negara, selepas CAR mencarinya dengan waran tangkap antarabangsa atas beberapa tuduhan termasuk melakukan pembunuhan, penangkapan semberono, dan penyeksaan.

Bekas presiden berusia 74 tahun itu, yang memegang kuasa dalam rampasan kuasa pada 2003 sebelum beliau digulingkan pada 2013, berkata pada Selasa lepas bahawa beliau menerima keputusan mahkamah.

CAR mengalami konflik apabila Bozize, seorang Kristian, digulingkan sebagai presiden oleh Seleka, iaitu satu perikatan pemberontak yang amnya dianggotai masyarakat minoriti Muslim.

Kudeta itu mencetuskan pertumpahan darah di antara perikatan Seleka dengan kumpulan yang dipanggil tentera pertahanan diri “anti-Balaka”, yang umumnya dianggotai orang Kristian dan animis.

Perancis menghantar angkatan tenteranya untuk campur tangan di negara bekas jajahannya itu dan selepas tempoh peralihan, pilihan raya diadakan pada 2016 dan ia dimenangi Touadera.

Keseriusan peperangan antara kaum sudah berkurangan sejak dua tahun lalu, tetapi kumpulan militia masih mempengaruhi dua pertiga negara, selalunya berperang kerana berebut sumber semulajadi.

Perikatan baharu CPC menyatukan semua kumpulan yang muncul daripada tentera Seleka dengan pejuang anti-Balaka yang menentang rejim Touadera.

Menurut sumber kemanusiaan dan PBB pada Jumaat lepas, militia pemberontak sudah menguasai laluan penting menuju ke ibu negara Bangui.

Tetapi pakar CAR Hans de Marie Huengoup dari Kumpulan Krisis Antarabangsa berkata ugutan pemberontak untuk berarak ke ibu negara perlu difahami dengan berhati-hati buat masa sekarang, kerana reaksi terburu-buru tiada di Bangui di mana militia yang bermusuhan mendirikan perintang pada masa lalu.

“Buat masa sekarang, terdapat psikosis dan banyak khabar angin,” katanya.

Di New York, Guterres mengecam keganasan yang semakin meruncing di CAR dan menggesa semua pihak untuk “menyelesaikan perbezaan mereka secara aman, demi kepentingan rakyat Afrika Tengah yang sudah terlalu lama menderita akibat keganasan dan keadaan yang tidak stabil”. — AFP

Advertisement