Anda di sini

Dua pengedar ditahan sedang bungkus syabu

Advertisement
 Syabu yang diseludup masuk ke sini daripada Lahad Datu sebelum dijual dengan harga lebih tinggi berjaya  dirampas dalam satu serbuan di Asia City.
RAMPAS: Syabu yang diseludup masuk ke sini daripada Lahad Datu sebelum dijual dengan harga lebih tinggi berjaya  dirampas dalam satu serbuan di Asia City.

KOTA KINABALU: Polis berjaya menahan dua pengedar dadah yang sedang membungkus syabu semasa serbuan di sebuah bilik sewa di Asia City di sini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata selepas mendapat maklumat berkenaan aktiviti pengedaran dadah, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD Kota Kinabalu membuat serbuan kira-kira jam 5.29 petang.

“Semasa diserbu terdapat dua individu di dalam bilik terbabit masing-masing lelaki dan wanita berumur 29 tahun sedang duduk di atas lantai dalam keadaan panik.

“Hasil pemeriksaan menemukan sampul surat yang disembunyikan di bawah badan suspek lelaki yang mengandungi satu paket syabu seberat 24.69 gram dianggarkan bernilai RM2,469,” katanya.

Habibi berkata hasil siasatan lanjut mendapati suspek wanita membawa sejumlah bekalan dadah yang diseludup dari Lahad Datu sebelum diserahkan kepada suspek lelaki yang juga bukan warganegara untuk diedarkan di sini dengan harga lebih tinggi.

“Kedua-dua suspek mengaku mengambil bekalan dadah jenis syabu dengan harga RM1,200 dan mereka akan menjualnya pada harga RM1,800.

“Hasil ujian urine yang dijalankan terhadap suspek bagaimanapun menunjukkan keputusan negatif,” katanya.

Beliau berkata suspek kini direman di Lokap Berpusat Kontinjen Sabah dan kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

  • oleh
  • Advertisement