Anda di sini

Nigeria cuba selamatkan pelajar diculik

Advertisement

KANO: Pihak berkuasa Nigeria Kelmarin telah mempertingkatkan usaha bagi menyelamatkan pelajar yang diculik oleh lelaki bersenjata yang menyerbu asrama mereka.

Agensi kanak-kanak PBB UNICEF mengecam serangan ke atas sekolah di Katsina, kampung halaman Presiden Muhammadu Buhari.

Penyerang yang menunggang motosikal menyerbu Sekolah Sains Kerajaan di Kankara pada lewat Jumaat lepas dan bertembung dengan pasukan keselamatan dalam pertempuran bersenjata sengit, memaksa beratus-ratus pelajar melarikan diri dan bersembunyi dalam semak dan hutan berhampiran.

Gabenor negeri Aminu Bello Masari yang melawat sekolah itu Sabtu lepas, menyatakan anggota tentera berusaha untuk mengesan dan membebaskan tebusan.

“Pihak tentera sekarang berada di hutan menentang penjahat.

“Kami akan melakukan segala yang termampu bagi memastikan semua kanak-kanak yang diculik, kembali dengan selamat,” kata beliau.

Jurucakap polis negara Frank Mbas menyatakan aset operasi dan siasatan tambahan bagi membantu operasi mencari dan menyelamat yang sedang dilakukan di Kankara telah dikerahkan.

Masari menyatakan masih belum diketahui jumlah pelajar yang diculik dan jumlah pelajar yang berjaya melepaskan diri.

“Sekolah tersebut mempunyai 839 pelajar dan setakat ini, kami telah mengira kehadiran 333 pelajar,” Masari memberitahu delegasi kerajaan persekutuan di pejabatnya kelmarin.

“Kami masih mengira kerana ramai baharu keluar dari kawasan hutan,” menurut gabenor.

“Sehingga kini, tiada sesiapa dapat memberikan jumlah tepat kanak-kanak yang diculik,” kata beliau, sambil menambah bahawa pelajar yang melarikan diri mengesahkan beberapa rakan mereka telah diculik.

Masari mengarahkan sekolah melakukan pengiraan jumlah pelajar bagi menentukan sama ada terdapat pelajar yang pulang ke rumah.

Osama Aminu Maale merupakan salah seorang pelajar yang melarikan diti daripada penculik dan pulang ke rumah.

“Seramai 520 pelajar telah dibawa penyerang bersenjata dari sekolah,” pelajar berusia 18 tahun itu memberitahu AFP melalui panggilan telefon.

“Selepas mereka membawa kami pergi, kami berhenti di dalam bas di mana mereka mengarahkan pelajar yang lebih tua agar mengira jumlah kami semua.

“Kami telah mengira seramai 520 orang,” kata beliau.

Tebusan telah dipisahkan kepada beberapa kumpulan sebelum Maale dan empat lagi pelajar berjaya melarikan diri.

“Salah seorang penyerang memukul saya beberapa kali ketika saya gagal mengikuti ahli kumpulan yang lain akibat masalah kesihatan saya sebelum dia meninggalkan saya di belakang, memberikan saya peluang untuk melarikan diri,” kata beliau.

Sejak serangan itu, semua sekolah menengah di wilayah ini telah ditutup.

UNICEF dalam satu kenyataan kelmarin menyatakan ia mengecam dalam keadaan paling tegas serangan kejam tersebut sekali gus menyeru bagi pembebasan segera dan tanpa syarat bagi semua kanak-kanak dan kepulangan mereka kepada keluarga masing-masing.

Badan kanak-kanak global ini menyatakan ia berasa sangat bimbang mengenai tindakan keganasan ini.

“Serangan ke atas sekolah merupakan pencabulan terhadap hak kanak-kanak.

“Ini adalah satu peringatan teruk bahawa penculikan kanak-kanak dan pencabulan hak kanak-kanak berterusan di utara Nigeria,” tambahnya lanjut.

UNICEF mengarahkan kerajaan Nigeria agar mengerahkan pasukan keselamatan untuk menyelamatkan pelajar berkenaan.

Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres turut mengecam serangan kelmarin dan menyeru pembebasan pelajar dalam satu kenyataan yang dikeluarkan jurucakapnya.

Guterres mengesahkan semula perpaduan dan sokongan dari PBB kepada kerajaan dan rakyat Nigeria dalam perjuangan mereka menentang keganasan, ekstremisme kejam dan jenayah terancang, menurut kenyataan terse but.

Buhari pada Sabtu lepas mengarahkan pasukan keselamatan menangkap penyerang tersebut.

Katsina adalah antara beberapa kawasan di barat laut Nigeria yang kerap diserang penjahat yang menculik bagi wang tebusan dan lembu ternakan. — AFP

Advertisement