Anda di sini

Haruan makan anak dipenjara 20 tahun, 18 sebatan

Advertisement
 

KUCHING: Seorang lelaki tempatan dipenjara 20 tahun dan dikenakan 18 sebatan di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini kerana melakukan sumbang mahram dengan merogol anak tiri berulang kali sehingga mangsa mengandung.

Tertuduh yang berusia 40 tahun dan berasal dari Bau itu mengaku bersalah sejurus dua pertuduhan, masing-masing di bawah Seksyen 376B(1) Kanun Keseksaan dibaca terhadapnya di hadapan Hakim Jason Juga. 

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan. 

Sehubungan itu, mahkamah menetapkan tertuduh dipenjara 20 tahun dan dikenakan sembilan sebatan bagi setiap pertuduhan yang dihadapinya, selain mengarahkan hukuman berjalan serentak. 

Mengikut pertuduhan pertama, lelaki tersebut didakwa melakukan sumbang mahram terhadap mangsa yang kini berusia 15 tahun antara Januari dan Disember 2019, di sebuah rumah tidak bernombor terletak di Bau. 

Pertuduhan kedua menyaksikan tertuduh didakwa mengulangi perbuatan sama di kawasan semak samun berdekatan ladang kelapa sawit, juga di Bau, antara Januari dan Oktober 2020. 

Berdasarkan keterangan kes, tertuduh mula melakukan gangguan seksual terhadap mangsa semasa mangsa berusia 13 tahun dan oleh sebab itu, mangsa memilih untuk tinggal di rumah neneknya yang terletak di kampung sama. 

Namun pada Januari 2019, mangsa dan keluarganya termasuk tertuduh pindah ke kampung lain iaitu kira-kira 20 minit dari tempat tinggal lamanya dan sejak itu mangsa sering dirogol di rumah.

Tertuduh juga mengumpan mangsa pergi ke kawasan semak samun berhampiran ladang kelapa sawit dengan alasan untuk mencari sayur paku sebelum merogolnya. 

Mangsa yang tidak tahan diperlakukan sedemikian seterusnya membuat laporan polis pada 24 November lalu. 

Terdahulu sebelum dijatuhkan hukum, tertuduh memohon agar tidak dikenakan hukuman berat berikutan dia mempunyai empat orang anak untuk ditanggung.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurfadzlin Mahmad Zulhasnan bagaimanapun memohon agar tertuduh dikenakan hukuman setimpal berbentuk pengajaran memandangkan kesalahan yang dilakukan adalah serius, selain memaklumkan mahkamah bahawa kes kesalahan seksual kini kerap berlaku. 

“Akibat perbuatan tertuduh juga, mangsa mengandung dan doktor menasihatkan mangsa untuk menggugurkan kandungan tersebut kerana usianya terlalu muda dan tidak sesuai untuk melahirkan bayi. 

“Justeru, pihak pendakwaan berharap agar hukuman berat yang dijatuhkan terhadap tertuduh akan membuatkan dia insaf,” ujar Nurfadzlin semasa prosiding. 

Tertuduh tidak diwakili peguam.

  • oleh
  • Advertisement