Anda di sini

Upin & Ipin 'Barang Baik, Barang Kita' raih 2.9 juta tontonan 

Advertisement
 

KUCHING: Siri animasi popular, Upin & Ipin - 'Barang Baik, Barang Kita' meraih 2.9 juta tontonan dalam tempoh 48 jam disiarkan melalui platform YouTube.

Episod 14 itu yang menyaksikan penampilan khas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Dato Sri Alexander Nanta Linggi, mendapat maklum balas luar biasa dalam kalangan peminat siri berkenaan.

Malah, Nanta adalah menteri kabinet pertama yang membuat kemunculan khas dalam siri animasi itu yang cukup  popular dalam kalangan kanak-kanak di negara ini, begitu juga negara serantau.

Ia mencatatkan rekod pencapaian tersendiri untuk syarikat penerbitan siri animasi popular berkenaan, Les Copaque Production Sdn Bhd apabila episod berkenaan meraih jumlah tontonan tertinggi dalam tempoh yang singkat.

Nanta berkata, penerbitan episod itu sebahagian daripada usaha kementeriannya dalam menyokong Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM), khusus bagi membantu membina semula ekonomi domestik negara ini dan meningkatkan kuasa beli rakyat.

"Ia jelas memperlihatkan komitmen berterusan kerajaan dalam membantu mempromosikan barangan buatan tempatan yang berkualiti dan setanding barangan luar melalui slogan 'Barang Baik, Barang Kita'," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, pelbagai pendekatan digunakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi mempromosikan KBBM di semua peringkat lapisan rakyat, termasuk golongan kanak-kanak.

Malah, Nanta turut menganggap kemunculannya dalam siri animasi popular itu sebagai pengalaman yang cukup unik dan satu penghormatan untuknya.

  • oleh
  • Advertisement