Anda di sini

Bayi antara lima maut dirempuh SUV di Jerman

Advertisement
 Anggota polis dan ambulans dilihat sedang menjalankan tugas di lokasi di mana sebuah kenderaan SUV merempuh              pejalan kaki di Trier, barat daya Jerman kelmarin. — Gambar AFP
SIASAT: Anggota polis dan ambulans dilihat sedang menjalankan tugas di lokasi di mana sebuah kenderaan SUV merempuh pejalan kaki di Trier, barat daya Jerman kelmarin. — Gambar AFP

TRIER: Seorang bayi adalah antara lima orang yang terbunuh apabila sebuah kereta merempuh jalan penuh sesak dengan orang ramai membeli-belah di bandar barat daya Jerman, Trier kelmarin, menurut polis selepas  menahan pemandu kereta itu.

Pendakwa raya Peter Fritzen berkata pemandu, seorang penduduk tempatan Trier berusia 41 tahun, kelihatan mengalami masalah psikiatrik dan berada di bawah pengaruh alkohol semasa kejadian, yang turut menyebabkan 14 yang lain cedera.

Polis berkata, insiden tidak mempunyai petunjuk motif politik selepas menyoal siasat suspek. Fritzen pula berkata, pendakwa raya menimbangkan untuk memohon suspek diletakkan dalam jagaan pusat psikiatrik.

Pada sidang media yang sama, Datuk Bandar Trier Wolfram Leibi berkata, mereka yang terbunuh apabila lelaki itu memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) ke arah pembeli-belah termasuk seorang bayi berusia sembilan bulan dan seorang wanita berusia 73 tahun.

“Saya fikir ini adalah hari paling gelap Trier sejak Perang Dunia Kedua,” kata beliau.

Turut terbunuh  ialah seorang wanita berusia 25 tahun dan lelaki berusia 45 tahun. Polis masih belum mengeluarkan perincian tentang mangsa kelima.

Malu Dreyer, ketua menteri negeri Rhineland-Palatinate di mana terletaknya Trier, menyuarakan rasa  terkejut bahawa seorang bayi adalah antara yang terbunuh akibat “perbuatan gila” pemandu dan menyuarakan simpati dan takziah kepada semua keluarga yang terlibat.

Ibu bayi sedang dirawat di hospital kerana kecederaan yang dialami dalam insiden itu.

Saksi sebelum ini menggambarkan melihat mangsa melambung ke udara ketika dirempuh.

Insiden berlaku sekitar jam 12.50 tengah hari waktu tempatan dan berakhir dalam empat minit selepas panggilan kecemasan pertama tiba, dengan polis memintas pemandu setelah dia membelok ke arah jalan utama kawasan beli-belah itu.

Polis berkata, suspek me-rempuh jalan penuh dengan orang ramai di antara 600 meter dan satu kilometer jaraknya, meninggalkan kesan kerosakan.

Polis menutup kawasan itu dan menyuraikan orang ramai dari pusat bandar dengan sekitar 110,000 orang ketika itu.

Rakaman video telefon bimbit oleh saksi menunjuk-kan penangkapan pemandu, digari dan dibaringkan di atas jalan dengan ditindih pegawai polis bersebelahan kenderaannya yang rosak.

Pada sebelah malam, loceng gereja dibunyikan dan satu majlis khas diadakan untuk mangsa.

Joachim bersama-sama anak perempuannya, Helena dan Sophia, yang menghadiri majlis upacara mengenang mangsa, menyuarakan ke-sedihan mereka.

“Kami mahu menunjukkan rasa simpati kepada mereka yang kehilangan nyawa dan mereka yang kehilangan orang yang tersayang,” kata Joachim.

Seorang lelaki tidak mahu dikenali yang berkata beliau adalah bekas jiran suspek, memberitahu NTV bahawa pemandu itu mempunyai sejarah masalah mental, dan juga masalah kewangan serta masalah dengan bapanya.

Canselor Jerman Angela Merkel menyuarakan rasa kesedihan dan berkata, ingatan beliau kepada sanak-saudara mereka yang terbunuh dan juga cedera, dalam satu ucapan yang dikongsi oleh jurucakapnya.

Rakaman awal di tempat kejadian menunjukkan orang ramai tergamam di luar kedai yang dihiasi dekorasi Krismas ketika siren kenderaan kecemasan kedengaran.

Serpihan kaca dari kedai dan barang pameran ber-taburan di atas jalan raya.

Walaupun Jerman dilanda gelombang kedua koronavirus (COVID-19) yang memaksa restoran, kelab malam, kelab sukan dan pusat kebudayaan ditutup, peniaga dibenarkan beroperasi dan orang ramai keluar untuk membeli barangan menjelang perayaan Krismas.

“Kita bernasib baik pasar Krismas dibatalkan kerana pandemik COVID-19, jika tidak, ia mungkin lebih buruk,” kata seorang saksi, Frederic Fries.

Insiden ini mengimbau kembali tragedi sebuah trak merempuh pasar Krismas Berlin pada 2016 yang membunuh 12 orang, serangan terburuk oleh pelampau di Jerman setakat ini.

Pada Januari 2019, seorang lelaki tempatan mencedera-kan lapan orang apabila memandu keretanya ke arah  orang ramai pada malam Tahun Baharu di bandar raya Botrrop-Essen. Dia kemudian diletakkan di bawah jagaan psikiatrik.

Pada April 2018, seorang lelaki memandu vannya ke arah orang ramai yang duduk di luar restoran di bandar raya Muenster, mengorbankan lima orang sebelum me-nembak mati dirinya sendiri. Penyiasat kemudian berkata, suspek mengalami masalah mental. — AFP

Advertisement