Anda di sini

Pakar cerun perlu atasi hakisan, tanah runtuh di Bukit Kanada

Advertisement
 Lee menunjukkan bahu jalan Bukit Kanada yang tidak rata ditemani jurutera ketika melakukan lawatan, semalam.
TINJAU: Lee menunjukkan bahu jalan Bukit Kanada yang tidak rata ditemani jurutera ketika melakukan lawatan, semalam.

MIRI: Mengatasi sepenuhnya hakisan dan tanah runtuh di Bukit Kanada adalah kerja mencabar.

Menteri Pengangkutan Datuk Lee Kim Shin berkata, sokongan pakar khasnya dalam kejuruteraan cerun diperlukan untuk merancang dan menghasilkan penyelesaian kekal.

“Ini adalah kerja mencabar dan bukan sebarang jurutera boleh melakukannya. Oleh itu, kita memerlukan pakar cerun,” ujarnya sambil menambah, pihak Majlis Bandaraya Miri (MBM), Jabatan Kerja Raya dan pakar cerun akan bekerjasama termasuk mendapatkan peruntukan.

Antara lokasi yang perlu diambil perhatian ialah simpang masuk ke Muzium Petroleum yang terletak di atas bukit itu.

Lee yang juga ADUN Senadin berkata, penyelesaian kekal oleh pakar diperlukan untuk mengatasi masalah hakisan yang kerap berlaku di kawasan itu.

“Jurutera MBM akan mengemukakan cadangan dan meminta pakar cerun untuk mereka rekaan dan penyelesaian kekal untuk masalah hakisan ini,”” jelas Lee ketika mengadakan lawatan pemeriksaan projek jalan di Bukit Kanada, semalam.

Mengulas tentang projek Jalan Oil Well No. 1 yang telah siap, Lee mahu kerja-kerja menaik taraf jalan itu dilakukan semula.

Menurutnya, masih ada sebahagian jalan khasnya bahu jalan yang perlu diperbaiki dan diratakan agar lebih selamat dilalui ketika turun dan naik dari laluan Kampung Pujut Padang Kerbau.

“Saya mahu syarikat kontraktor untuk datang balik dan memperbaiki sebahagian jalan ini sebelum tempoh jaminan (projek) tamat pada Februari tahun hadapan.

“Bahu jalan dalam keadaan tidak rata dan perparitan masih kasar.

Kita juga perlu memperbetulkan tepi jalan agar ia selamat untuk pengguna.

“Saya mahu JKR memanggil semula kontraktor dan buat semua ini. Kita akan menahan bayaran sehingga kerja memuaskan,” tegas Lee.

Kontraktor dilantik telah menyiapkan projek pada Februari lalu dan jaminan projek akan berakhir pada Februari tahun hadapan.

Lee memberitahu, kerja-kerja menurap lebih baik dan mengecat garisan jalan akan dilakukan di jalan itu, justeru JKR akan mendapatkan lebih banyak peruntukan untuk kerja-kerja tambahan tersebut.

Sementara itu, Lee berkata lebih banyak lampu jalan akan dipasang di sepanjang laluan itu bermula dari atas bukit hingga ke Jalan Tun Hussien Onn.

“Selekoh turun dari Bukit Kanada sangat tajam dan berkeadaan gelap pada waktu malam.

Oleh itu kita memerlukan lampu jalan di lokasi ini.

“Selekoh tajam ini sangat berbahaya. Jadi kita perlu memasang ‘guard rail’ (pagar jalan) untuk mengelak kenderaan daripada terjunam ke dalam gaung,” jelasnya.

Hadir sama Jurutera MBM Abdul Rahman Taupek dan Jurutera JKR Miri Chong Chi Fam.

  • oleh
  • Advertisement