Anda di sini

ESScom hargai sumbangan NGO

Advertisement
 Misi kemanusiaan melibatkan Ikhlas.Com dan Pertubuhan MyAmal Sabah bersama ESScom yang membantu masyarakat Esszone.
MISI: Misi kemanusiaan melibatkan Ikhlas.Com dan Pertubuhan MyAmal Sabah bersama ESScom yang membantu masyarakat Esszone.

SANDAKAN: Ketua Pegawai Eksekutif Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESScom) Dr. Jamaluddin Mohd Ali menghargai dan amat mengalu-alukan peranan yang dimainkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang tampil memberikan sumbangan kepada penduduk di sekitar daerah ini.

Beliau mengulas mengenai bantuan yang diberikan oleh dua buah NGO iaitu Ikhlas.Com dan Pertubuhan MyAmal Sabah yang masing-masing telah menyumbangkan sebanyak 200 pek dan 100 pek bakul makanan untuk diedarkan kepada penduduk yang terjejas tanpa mengira latar belakang  dan kewarganegaraan.

Baru-baru ini ESScom dengan kerjasama Ikhlas.Com dan Pertubuhan MyAmal Sabah telah mengedarkan 300 bakul makanan ke sembilan buah perkampungan atas air dan pulau di daerah ini.

Antara perkampungan yang terlibat dengan agihan tersebut ialah Pulau Berhala, Pulau Nunuyan Laut, Kampung Tronglit, Kampunh Api-Api, Kampung Jampiras, Pulau Timbang, Pulau Sangai serta beberapa lagi buah pulau yang berhampiran.

"Saya bagi pihak ESScom amat berterima kasih dan menghargai serta mengalu-alukan sumbangan bakul makanan seumpama ini.

"Saya berharap agar bakul makanan ini dapat membantu meringankan beban dan menampung perbelanjaan harian penduduk yang terjejas ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri ini.

"Saya berharap lebih banyak lagi NGO yang akan tampil memberikan sumbangan dan bantuan bagi membantu pihak kerajaan meringankan beban penduduk yang terkesan akibat PKPB khususnya di kawasan Pantai Timur Sabah yang majoriti penduduknya adalah nelayan dan bergantung hidup kepada hasil laut," katanya.

Beliau berkata, setiap pek bakul makanan itu bernilai RM50 dengan nilai keseluruhan sumbangan dianggarkan sebanyak RM15,000.

Katanya lagi, pengagihan bakul makanan itu berlangsung selama dua hari pada Khamis dan Jumaat lalu yang mana seramai lima petugas daripada setiap NGO tersebut telah menyertai ESScom untuk melaksanakan misi kemanusiaan itu.

  • oleh
  • Advertisement