Anda di sini

Kelibat lincah Maradona tetap diingati

Advertisement
(Kiri) PENGIRAN BALA dan HAKIMI
(Kiri) PENGIRAN BALA dan HAKIMI

MIRI: Kehebatan legenda bola sepak Argentina, Diego Maradona semasa membantu Argentina memenangi Piala Dunia 1986 masih diingati sehingga kini.

Bekas jurulatih Sarawak Pengiran Bala berkata, Maradona mempunyai kemahiran individu luar biasa dengan tendangan kaki kiri.

"Maradona menjadi inspirasi kepada pemain bola sepak dunia kerana dia mempunyai keupayaan tendangan kaki kiri, keseimbangan serta intelektual semasa di atas padang," katanya ketika dihubungi semalam.

Pengiran Bala memberitahu Maradona juga membantu kemenangan Argentina menumbangkan Jerman ketika ketinggalan 2-0.

" Maradona membangkitkan semangat juang pasukan Argentina hingga rakannya iaitu Jose Luis Brown, Jorge Valdano dan Jorge Burruchaga menjaringkan gol kemenangan," katanya.

Dilabel memiliki ‘Tangan Tuhan’ ketika melawan England di pentas suku akhir, Pengiran Bala menyifatkan pemain legenda itu tetap menjadi inspirasi kepada peminatnya di seluruh dunia.

"Kita amat berduka cita dengan pemergian legenda Maradona kerana kita membesar pada era kegemilangan dan kelihat lincahnya di atas padang masih diingati," katanya.

Bagi bekas jurulatih Piala Liga Bolasepak Rakyat (LBR) Mohamad Hakimi Man, pemergian Maradona satu kehilangan besar kepada arena bola sepak.

"Maradona ini diibaratkan sebagai pencatur terbaik di atas padang kerana dia berusaha gigih membantu kemenangan Argentina mengalahkan Jerman pada Piala Dunia 1986."

Hakimi berkata meskipun Argentina ketinggalan 2-0 ketika ini, pemain legenda itu tidak berputus asa malah mencipta ruang kepada rakan menjaringkan gol.

"Kami melihat secara langsung perlawanan bola sepak antara Argentina dan Jerman ketika itu dan ternyata Maradona pemain terbaik yang membantu kemenangan Argentina," jelasnya.

Hakimi menambah, kemahiran legenda Argentina itu amat luar biasa dan menjadi idola kepada pemain bola sepak moden.

Maradona yang juga bekas kapten Argentina meninggal dunia pada umur 60 tahun pada Rabu lalu akibat serangan jantung.

Beliau juga bermain untuk kelab Barcelona dan Napoli semasa zaman kegemilangannya selain memenangi dua gelaran Serie A bersama pasukan di Itali itu.

Dalam satu kenyataan di media sosial, Persatuan Bola Sepak Argentina, menyifatkan pemergian Maradona menyebabkan kesedihan yang amat mendalam.

"Ia kesedihan yang amat mendalam atas kematian legenda kami. Anda akan selalu di hati kami," kata persatuan itu.

Advertisement