Anda di sini

Jalan Oya akan dinamakan semula Jalan Brother Albinus

Advertisement
 Pandangan bahagian hadapan SMK Sacred Heart.
SARAT SEJARAH: Pandangan bahagian hadapan SMK Sacred Heart.

SIBU: Kerajaan negeri telah bersetuju untuk menamakan semula sebatang jalan sebagai kenangan dan penghargaan kepada mendiang Brother Albinus O’Flaherty.

Lebih dikenali sebagai Abai dalam kalangan bekas pelajar, beliau merupakan pendidik hebat La Salle dari Ireland dan bekas pengetua Sekolah Menengah Sacred Heart di di sini.

Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Clarence Ting berkata, permohonan menamakan Jalan Oya untuk ditukar menjadi Jalan Brother Albinus telah diajukan oleh Persatuan Pelajar Lama Sacred Heart (SHOSA) Sibu dan telah diluluskan pada 15 Oktober.

“Hanya sebahagian daripada jalan iaitu bermula dari Jalan Oya (KPJ Specialist Sibu) hingga hadapan persimpangan lalu lintas SMK Sacred Heart (kira-kira satu kilometer) termasuk lapan lorongnya akan dinamakan semula menjadi Jalan Brother Albinus,” kata Ting.

Katanya, papan tanda jalan dan lorong akan ditukar dengan sewajarnya tetapi nama jalan asal (Jalan Oya) akan dinyatakan dengan huruf kecil di bahagian bawah nama baharu iaitu Jalan Brother Albinus.

MENDIANG BROTHER ALBINUS
MENDIANG BROTHER ALBINUS

Mengenai Brother Albinus, beliau dilahirkan dalam keluarga petani di sebuah kampung yang dikenali sebagai Ballyhoneen di daerah Kerry, Ireland, pada 23 Mei 1930.

Beliau mula menghadiri sekolah agama di tanah airnya di mana beliau gemar bermain bola sepak dengan rakan-rakannya, sebelum menyertai La Salle Brothers pada usia 14 tahun.

Beliau juga pernah mengajar di sebuah institut St Joseph di Singapura.

Setelah meluangkan masa di Singapura, mendiang kembali ke Ireland dan mendapatkan ijazah dalam Bahasa Inggeris dan Sastera sebelum dihantar untuk mengajar di St Joseph Kuching dalam 1960, dan seterusnya menjadi pengetua sekolah tersebut.

Brother Albinus telah menabur bakti selama 53 tahun di sana dan di Sibu.

Setelah 10 tahun di St Joseph, beliau dipindahkan untuk mengajar di Sacred Sekolah Menengah Sacred Heart dan menjadi pengetua dari tahun 1972 hingga 1987.

Setelah bersara pada tahun 1987, beliau bertugas di Pusat Tuisyen Paroki St Joseph sebagai pengarah Sekolah Swasta A Level St Patrick dan dilantik sebagai pengetua Pusat Tuisyen Paroki St Joseph dari tahun 1992 ke 1997.

 Jalan Oya akan dinamakan semula sebagai Jalan Brother Albinus.
DILULUSKAN: Jalan Oya akan dinamakan semula sebagai Jalan Brother Albinus.

Brother Albinus meninggal dunia pada 4 Ogos, 2013 pada usia 83 tahun.

Sebagai menghormati jasanya yang mengabadikan seluruh riwayatnya untuk mendidik golongan belia di negeri ini, SHOSA Sibu, telah bertungkus-lumus sejak lima tahun lalu memulakan projek untuk mendapatkan kelulusan daripada kerajaan untuk menamakan semula Jalan Oya menjadi Jalan Brother Albinus.

Pelbagai usaha telah dilakukan pihak persatuan sehingga mereka mengusulkan perkara itu kepada pihak atasan.

Oleh yang demikian, bekas pelajar sekolah Sacred Heart memberi reaksi positif setelah mengetahui Jalan Oya akan diganti nama bekas pengetua mereka.

Presiden SHOSA Sibu Yong King Sung mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Sarawak kerana meluluskan penamaan semula jalan di hadapan sekolah sebagai satu pengiktirafan Brother Albinus yang telah mengabadikan sepanjang riwayatnya untuk mendidik anak-anak Sarawak.

“Brother Albinus telah menyentuh perasaan ramai pemimpin Sarawak dan rakyatnya.

“Sebilangan besar pemimpin negeri Sarawak pada masa lalu dan sekarang pernah menjadi pelajarnya.

“Beliau sangat dihormati masyarakat dan disanjungi pelajarnya,” kata Yong.

Katanya lagi, Brother Albinus telah meninggalkan kesan yang abadi dan sehingga hari ini, bekas pelajar masih mengenangi kehebatan beliau sebagai seorang pendidik dan pengetua yang hebat malah dianggap sebagai bapa kepada mereka.

Beliau tergolong dalam generasi legenda La Salle Brothers yang menonjolkan sekolah mubaligh.

“Brother Albinus begitu terkenal dan dihormati di atas komitmennya dalam mendidik ramai sehingga akhir hayatnya,” tambahnya.

Menurut Yong, kepercayaan tegas Brother Albinus adalah semua orang berhak mendapat pendidikan terbaik, tanpa mengira bangsa, agama, status sosial atau perkara duniawi yang lain.

“Jika tidak kerana semangat, cinta dan kepekaan sebagai guru dan pengetua, ramai akan kekal menjadi yang terakhir, yang hilang dan yang paling sedikit, “ujar lagi

Kata seorang lagi bekas pelajar Dr Gregory Hii, “Sebagai bekas pelajar SHS dan bekas pengerusi SHOSA, saya mengalu-alukan penamaan semula jalan di depan SHS ditukarkan kepada Jalan Brother Albinus.”

“Oleh itu, saya bersyukur kepada pihak berkuasa negeri dan MPS di atas keputusan itu.”

  • oleh
  • Advertisement