Anda di sini

GoBiz platform bantu pasarkan produk IKS Sabah

Advertisement
JOACHIM
JOACHIM

KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Perindustrian akan membangunkan satu seksyen yang dinamakan GoBiz menerusi aplikasi GoNet sebagai platform memasarkan produk-produk industri kecil dan sederhana (IKS) di negeri ini secara percuma.

Timbalan Ketua Menteri III yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian Datuk Dr. Joachim Gunsalam berkata, aplikasi berkenaan boleh dimuat turun menerusi Google Play atau Apple Store.

Menurutnya, produk mikro IKS dan hasil buatan tangan kini boleh diperoleh menerusi aplikasi berkenaan.

"Platform yang lengkap dengan sistem applikasi tempahan dan pembayaran ini bakal disiapkan pada penghujung bulan ini dan akan dilancarkan tidak lama lagi.

"Kementerian juga akan terus berkolaborasi dengan pihak swasta untuk mempromosi dan memasarkan produk-produk Sabah menerusi platform seperti Tamuku dan My Borneoshop," katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Beliau berkata, Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) menerusi Sedcovest turut bekerjasama dengan sebuah syarikat pembangun aplikasi perniagaan atas talian dari Sabah.

Usaha itu katanya, bagi membantu memasarkan serta melaksanakan transaksi produk-produk tempatan melalui platform maya yang berfungsi sama seperti Lazada dan Shopee.

"Melalui kolaborasi ini, sejumlah 2,000 usahawan di bawah SEDCO dijangka menggunakan platform berkenaan dalam tempoh tiga hingga lima tahun.

"Kerajaan negeri juga dalam proses membangunkan satu portal usahawan  untuk menyenaraikan kesemua usahawan di negeri Sabah dan portal berkenaan mempunyai maklumat-maklumat terperinci usahawan di Sabah.

"Portal ini akan dapat digunakan oleh semua kementerian dan agensi yang mempunyai program pembangunan usahawan," jelasnya.
  
Menurutnya, apabila portal berkenaan siap dibangunkan pada tahun hadapan, ia akan diletakkan di bawah kendalian kementeriannya.

  • oleh
  • Advertisement