Anda di sini

PBT alami penurunan pendapatan giat dibantu

Advertisement
 Antonio (tiga kanan) menyerahkan Pelan Anti Rasuah Organisasi (OACP) kepada Penguang, sambil disaksikan yang lain.
PERANGI RASUAH: Antonio (tiga kanan) menyerahkan Pelan Anti Rasuah Organisasi (OACP) kepada Penguang, sambil disaksikan yang lain.

MIRI: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak berusaha melakukan yang terbaik untuk membantu pihak-pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini berikutan penurunan pendapatan cukai pintu selepas pemotongan 25 peratus kadar taksiran tahun ini.

Dato Sri Prof Dr Sim Kui Hian berkata, masalah kekurangan pendapatan yang dihadapi PBT berlaku berikutan pengurangan kadar taksiran untuk meringankan beban ekonomi rakyat akibat wabak COVID-19.

“Kami berusaha sedaya upaya untuk membantu PBT terutama pada masa-masa yang sangat mencabar ini,” kata beliau dalam ucapannya yang dibacakan Menteri Mudanya yang juga ADUN Marudi Datu Dr Penguang Manggil ketika mewakili beliau merasmikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2019 di sebuah hotel di sini, semalam.

Dr Sim memberitahu, Gabungan Parti Sarawak (GPS) di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sangat memahami keperluan rakyat dan baru-baru ini mengumumkan bonus satu setengah bulan kepada penjawat awam ne-geri dan RM500 kepada semua pegawai persekutuan yang bertugas di negeri.

Beliau menyifatkan insentif seperti itu adalah sesuatu yang tidak dilakukan negeri-negeri lain.

“Kita mesti bangga menjadi negeri terbesar di Malaysia.

“Dari segi kewangan kita cukup OK kerana pendapatan kita daripada minyak dan gas dari Cukai Jualan Negeri (SST),” tambahnya.

Pada masa yang sama beliau mahu PBT lebih proaktif agar lebih kerap turun padang dan berwaspada dengan sebarang masalah yang berkaitan dengan perkhidmatan mereka.

“Saya ingin mendorong kepada semua PBT untuk mengambil inisiatif sendiri dengan memiliki talian hotline sendiri atau sekurang-kurangnya memberi nombor hubungan anda kepada orang ramai untuk memastikan, jika ada sesuatu yang berlaku di kawasan jagaan (bidang kuasa), anda adalah orang pertama yang tahu.

“Anda akan menjadi agensi pertama yang mengambil tindakan segera untuk memastikan orang lain tidak menyebarkan masalah ini dan menjadikan satu isu di media sosial,” tambahnya.

Anugerah tahunan itu bertujuan bagi memberi penghargaan kepada pegawai dan kakitangan yang telah menunjukkan prestasi cemerlang berdasarkan kriteria yang ditetapkan dan melibatkan 214 pegawai dari Jabatan Pengairan dan Saliran (DID), Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) dan 22 PBT.

Turut hadir ialah Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datu Antonio Khati Galis, Datuk Bandar Miri Adam Yii serta ketua-ketua jabatan berkaitan dan pengerusi-pengerusi PBT lain di seluruh negeri.

Advertisement