Anda di sini

Kemarau Burnley berakhir, berjaya menewaskan Palace 1-0

Advertisement
 Wood menjaringkan gol pada perlawanan Liga Perdana Inggeris antara Burnley dan Crystal Palace di  Turf Moor, Burnley, England, kelmarin. — Gambar AFP
BERGAYA: Wood menjaringkan gol pada perlawanan Liga Perdana Inggeris antara Burnley dan Crystal Palace di Turf Moor, Burnley, England, kelmarin. — Gambar AFP

LONDON: Burnley meraikan kemenangan pertama mereka dalam Liga Perdana Inggeris musim ini selepas Chris Wood menjaringkan gol kemenangan untuk menewaskan Crystal Palace 1-0 sementara Southampton terlepas peluang melonjak ke tangga ketiga liga apabila diikat 1-1 di Wolves pada Isnin.

Burnley gagal memenangi tujuh perlawanan pertama mereka musim ini, untuk rekod bersama permulaan terburuk satu musim dalam sejarah kelab.

Skuad kendalian Sean Dyche adalah satu-satu kelab dalam Liga Perdana yang masih gagal menjaringkan gol di tempat sendiri musim ini sehingga Wood membuka jaringan dalam separuh masa pertama menentang Palace.

Gol itu bagaimanapun sudah memadai untuk mengutip tiga mata yang amat diperlukan oleh Burnley, yang melangkah keluar dari zon penyingkiran, dengan Fulham menggantikan tempat mereka.

“Kami mencipta dua atau tiga peluang terbaik, kami menyempurnakan satu dan ia menjadi semakin mendebarkan kerana kami memburu kemenangan pertama. Untuk akhirnya menang, ia memberikan semangat baharu kepada kami,” kata Dyche.

“Kami mempunyai kumpulan yang boleh mencabar. Kami mempunyai permulaan yang sukar tetapi sudah dijangkakan.”

Palace beraksi tanpa penyerang utama, Wilfried Zaha, selepas diuji positif koronavirus (COVID-19) dan skuad bimbingan Roy Hodgson itu tumpul di jentera serangan tanpa Zaha ketika mereka mengalami kekalahan kedua dari tiga perlawanan.

Burnley hanya mampu menjaringkan tiga gol liga musim ini dan belum menjaringkan gol sejak 3 Oktober apabila Ashley Westwood menjaringkan gol ketika tewas di Newcastle.

Namun Wood menamatkan empat perlawanan tanpa gol dengan gol  minit kelapan apabila menyempurnakan hantaran Jay Rodriguez.

Palace hampir mengikat kedudukan apabila rembatan lencong Andros Townsend berjaya ditepis penjaga gol Nick Pope.

Burnley hampir menambah jaringan menerusi rembatan Johann Gudmundsson tetapi bola  terkena palang.

Michy Batshuayi juga hampir mengikat kedudukan buat Palace tetapi Pope sekali lagi beraksi tangkas.

Burnley sememangnya amat berterima kasih kepada Pope kerana menepis satu cubaan Christian Benteke pada minit kecederaan.

Di Molineux, Southampton membayangkan kemenangan keempat berturut-turut apabila Theo Walcott membuka jaringan dalam separuh masa kedua.

Tetapi Pedro Neto dimasukkan dari bangku simpanan untuk menjaringkan gol penyamaan, menyebabkan Southampton terpaksa akur dengan satu mata untuk berada di tangga kelima liga.

“Saya gembira. Bagi semua orang, ia satu perlawanan yang sukar, dari segi taktikal juga sukar, ia seperti permainan catur. Mereka bermain dengan format 4-3-3, kami tidak  menjangkakannya tetapi kami menemui jawapan,” kata pengurus Southampton Ralph Hasenhuttl.

Pengurus Wolves, Nuno Espirito Santo, menambah: “Saya fikir gol mereka adalah dari satu kesalahan. Selepas itu, ia tentang bangkit dari semua ini. Pemain melakukannya dan kami menamatkan permainan dengan mencipta banyak peluang.”

Walcott diturunkan di posisi penyerang tengah untuk Southampton ekoran kecederaan Danny Ings dan pemain yang biasa bermain di posisi sayap itu ada menguji penjaga gol Wolves, Rui Patricio dalam separuh masa pertama.

Southampton membuka jaringan pada minit ke-58, dengan bantuan sedikit kontroversi.

Wolves kecewa kerana Stuart Armstrong kelihatan sengaja merempuh Rayan Ait-Nouri dan tiada tindakan diambil oleh pengadil, menyebabkan Che Adams melakukan hantaran lintang yang disempurnakan Walcott.

Ia adalah gol pertama Walcott bersama Southampton sejak tiba dari Everton untuk kontrak pinjaman pada bulan Oktober.

Gol liga terakhir beliau bersama Southampton ialah pada tempoh pertama beliau di kelab itu hampir 15 tahun yang lalu.

Walcott hampir menambah jaringan tetapi penyudah beliau hambar selepas menerima satu lagi umpanan Adams.

Kegagalan itu membawa padah apabila Wolves berjaya mengikat kedudukan pada minit ke-75 apabila rembatan kencang Raul Jimenez terkena palang dan bola muntah disempurnakan Neto.

Wolves hampir menjaringkan gol kemenangan tetapi rembatan Neto pada minit akhir berjaya ditepis penjaga gol Alex McCarthy. — AFP

Advertisement