Anda di sini

Tipu RM50 ribu, penganggur dihukum penjara

Advertisement
Liew Ngit Chong didapati bersalah kerana menipu wang.
Liew Ngit Chong didapati bersalah kerana menipu wang, dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun.

KUCHING: Padah menipu seorang pesara kononnya dapat membantu mendapatkan Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) sehingga mengakibatkan kerugian berjumlah RM50,000, seorang penganggur dipenjara tiga tahun oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini. 

Hukuman tersebut dijatuhkan selepas perbicaraan penuh dijalankan dan Liew Ngit Chong, 60, didapati bersalah di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sehubungan itu, Majistret Mohd Syukri Mokhtar mengarahkan hukuman penjara berkuat kuasa hari ini. 

Lelaki yang tidak diwakili peguam itu didakwa menipu seorang pesara lelaki berusia 76 tahun dengan memberitahu mangsa yang dia hendak membantunya dalam urusan mendapatkan BR1M dan seterusnya mendorong mangsa untuk menyerahkan RM50,000. 

Perbuatan itu didakwa dilakukannya pada 30 Julai 2014, jam lebih kurang 9.10 pagi, semasa berada di dalam sebuah kereta yang diletakkan berhampiran sebuah premis kedai kopi di Kota Sentosa Bazaar, Padawan.  

Mengikut keterangan kes, tertuduh dari Tabuan Laru, memberitahu mangsa bahawa terdapat skim pelaburan Rakyat 1 Malaysia dan sekiranya mangsa melabur sebanyak RM1,000, dia akan menerima pulangan sekali ganda. 

Justeru, mangsa masuk ke dalam kereta tertuduh dan pergi ke bank berhampiran untuk membuat pengeluaran wang berjumlah RM50,000. 

Selesai urusan tersebut, mangsa menyerahkan wang kepada tertuduh. 

Tertuduh kemudian membawa mangsa untuk pergi ke sebuah bank lain dengan tujuan membuat buku akaun dan setibanya mereka di hadapan premis tersebut, tertuduh mengarahkannya lagi untuk masuk ke dalam bagi menandatangani buku akaun. 

Mangsa kemudian menurut arahan tertuduh dan setelah dia keluar dari bank, dia mendapati tertuduh telah menghilangkan diri. 

Terdahulu, tertuduh merayu agar diberikan hukuman ringan namun Pegawai Pendakwa, Inspektor Mohd Adzmei Ahmad memaklumkan mahkamah, kesalahan yang dilakukan adalah serius, justeru hukuman berbentuk pengajaran harus dikenakan kepada tertuduh. 

  • oleh
  • Advertisement