Anda di sini

Medvedev julang kejuaraan pertama di Final Jelajah ATP

Advertisement
 Medvedev (kanan) dan Thiem memakai pelitup muka bergambar dengan trofi selepas perlawanan di O2 Arena di London kelmarin. — Gambar AFP
UNTUK KENANGAN: Medvedev (kanan) dan Thiem memakai pelitup muka bergambar dengan trofi selepas perlawanan di O2 Arena di London kelmarin. — Gambar AFP

LONDON: Daniil Medvedev bangkit dari ketinggalan sebelum menewaskan juara Terbuka Amerika (AS), Dominic Thiem dan memenangi kejuaraan terbesar dalam kerjayanya di Final Jelajah ATP pada Ahad.

Pemain pilihan keempat dari Rusia itu kelihatan sukar mencari rentak hampir sepanjang perlawanan berlangsung tanpa penonton di O2 Arena di London tetapi menemui ruang kebangkitan sebelum menang 4-6, 7-6(7/2) dan 6-4.

Medvedev, yang menyingkirkan juara lima kali kejohanan, Novak Djokovic dan juga pemain ranking kedua dunia, Rafael Nadal minggu ini, menjadi pemain pertama yang menewaskan kesemua tiga pemain ranking teratas dunia pada kejohanan akhir musim ini.

Pemain berusia 24 tahun itu kini sudah menang 10 perlawanan berturut-turut selepas memenangi kejuaraan Siri Master Paris pada awal bulan dan kemenangannya lebih manis selepas tanpa sebarang kemenangan pada penampilan sulung di London tahun lepas.

Ia kekalahan mengecewakan buat Thiem, yang tewas di final tahun lepas kepada Stefanos Tsitsipas.

“Perlawanan hebat,” kata Medvedev. “Salah satu kemenangan terbaik saya, dua jam dan 42 minit, tiga set menentang lawan yang  hebat.

“Dominic, tahniah kerana apa yang anda capai dalam kerjaya anda. Nama anda sudah berada dalam buku sejarah sukan tenis.

“Ia hebat. Anda memenangi satu kejohanan Grand Slam tahun ini. Anda bermain dengan hebat dan saya berharap anda akan memenangi lebih banyak perlawanan di masa hadapan terutama sekali pada kejohanan besar seperti ini.”

Thiem menangani asakan awal Medvedev sebelum mendahului kedudukan buat kali pertama pada permainan kelima.

Beliau mengesahkan kemenangan set pertama dengan satu pukulan lambung.

Medvedev, yang juga bangkit dari ketinggalan ketika menentang Nadal di separuh akhir pada Sabtu, memulakan set kedua dengan lebih meyakinkan.

Walaupun diberikan saingan yang kuat oleh Theim, Medvedev mempamerkan permainan lebih konsisten dan berjaya mengikat kedudukan dengan memenangi permainan tiebreak.

Thiem harus menyalahkan dirinya sendiri apabila gagal mengekalkan rentak apabila mendahului 2-0 pada permainan tiebreak sebelum Medvedev memenangi tujuh mata berturut-turut untuk membawa permainan ke set ketiga.

Kekalahan pada set kedua itu kelihatan memberikan kesan kepada permainan Thiem, yang gagal menangani beberapa pukulan kemas Medvedev.

“Sudah tentu saya kecewa tetapi pada masa yang saya, saya bangga dengan prestasi saya sepanjang minggu,” kata Thiem. “Daniil, anda benar-benar selayaknya dengan kejuaraan ini. Ia adalah perlawanan yang hebat.”

Medvedev adalah pemain pertama dari Rusia yang memenangi kejohanan akhir  musim sejak 2009, apabila Nikolay Davydenko memenanginya pada edisi sulung kejohanan yang berlangsung di London.

Pada tahun hadapan, kejohanan akhir musim ini akan berpindah ke Turin di Itali. — AFP

Advertisement