Anda di sini

Isu jenayah, gejala sosial belia perlu ditangani bersama: Len

Advertisement
 Len menerima cenderahati kenangan daripada agensi-agensi kerajaan yang turut serta pada program Pendidikan Komuniti Bersama Penduduk Kampung Selalang, semalam.
PENGHARGAAN: Len menerima cenderahati kenangan daripada agensi-agensi kerajaan yang turut serta pada program Pendidikan Komuniti Bersama Penduduk Kampung Selalang, semalam.

SARIKEI: Isu jenayah dan masalah sosial yang sering dikaitkan dengan golongan belia perlu ditangani bersama, kata Menteri  Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datu Len Talif Salleh.

Beliau berkata, selain itu negara turut menghadapi cabaran getir dalam memerangi musuh nombor satu, iaitu dadah.

“Dalam usaha membendung masalah ini, komuniti setempat boleh mengorak langkah dengan mengadakan aktiviti-aktiviti ke arah pencegahan penyalahgunaan dadah.  

“Komuniti setempat harus mempelopori inisiatif yang digembleng bersama agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) agar komitmen memerangi dadah adalah jelas dan semua pihak bergerak dalam satu pasukan dan mempunyai hala tuju yang sama.

“Golongan belia sebenarnya turut memainkan peranan penting dalam membantu memerangi jenayah dan masalah sosial di negara ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada Program Pendidikan Komuniti Bersama Penduduk Kampung Selalang dekat sini, semalam.

Program yang berlangsung di Dewan Masyarakat Kampung Selalang itu dihadiri sekitar 200 penduduk setempat.

Sehubungan itu, Len menyeru golongan belia agar menghindari perkara negatif, sebaliknya menyumbang pandangan, idea dan harapan untuk sama-sama mewujudkan persekitaran selamat.

Menurutnya lagi, semua pihak mempunyai peranan dalam usaha mengurangkan kadar jenayah.  

“Ia tidak boleh dilepaskan ke tangan pihak polis atau kerajaan semata-mata, tetapi perlu dilihat sebagai usaha bersama.  

“Kerajaan amat mengharapkan pandangan, idea dan langkah-langkah dinamik yang boleh diambil bagi menjamin kesejahteraan berterusan di negara ini,” tegasnya.

Mengulas berkaitan program itu, Len berkata ia adalah usaha berterusan dan menyeluruh yang wajar dilaksanakan untuk meningkatkan kesejahteraan penduduk kampung, seterusnya memperkukuhkan komuniti setempat.

Jelasnya, melalui program itu juga, data penglibatan dan pencapaian yang diperolehi boleh dijadikan panduan dan input penting dalam sesebuah komuniti bagi merancang program yang lebih efektif dan bertepatan kepada kumpulan sasaran.

“Program-program yang melibatkan komuniti setempat menunjukkan masyarakat kini sedar bahawa perpaduan merupakan tonggak utama dalam meningkatkan kesejahteraan.

“Bagi meningkatkan kesejahteraan masyarakat, kita memerlukan satu anjakan baharu komuniti.

“Inilah perubahan yang kita perlu terokai bersama dalam melaksanakan beberapa program di peringkat komuniti bagi merealisasikan perpaduan kaum di negara kita,” ujar Len.

  • oleh
  • Advertisement