Anda di sini

Dr Ting cadang ibu pejabat PETROS dipindah ke Miri

Advertisement
 Dr Ting ketika sidang media tentang PETROS di pejabat DAP Pujut semalam.
CADANGAN: Dr Ting ketika sidang media tentang PETROS di pejabat DAP Pujut semalam.

MIRI: Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Miri Dr Ting Tiong Choon mencadangkan agar ibu pejabat Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) dipindahkan dari ibu negeri di Kuching ke bandar raya Miri.

Bercakap kepada pemberita semalam, Dr Ting berkata langkah tersebut dianggap wajar dilakukan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan kerajaan negeri kerana sebahagian besar eksplorasi minyak dan gas dilakukan di luar Kuching.

Menurutnya, cadangan itu juga seiring dengan langkah syarikat multinasional Shell Malaysia memindahkan pusat operasi serantaunya di Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu ke Miri.

“Kita tahu Shell Malaysia akan memindahkan ibu pejabat ke Miri. Ini bagus dan wajar.

Langkah yang betul kerana Miri adalah pusat pertama (telaga minyak) untuk mereka di Malaysia.

“Sekiranya Shell dapat memindahkan ibu pejabat ke Miri kenapa tidak Abang Johari memindahkan ibu pejabat PETROS ke Miri. Kerana semua di sini. Tiada kena mengena (industri gas dan minyak) dengan Kuching. Semuanya di Miri dan Bintulu.

“Saya rasa Abang Johari harus memindahkan ibu pejabat PETROS ke Miri. Ini cadangan dan gesaan saya.”

Sehubungan itu, bekas ADUN Pujut itu turut menggesa wakil rakyat di sini termasuk menteri dan menteri muda agar menyokong cadangan itu dan memastikannya menjadi kenyataan.

“Saya rasa cadangan ini wajar kerana sekarang PETROS akan melakukan eksplorasi di Miri dan Marudi.

Ini memerlukan banyak sumber manusia dan oleh itu, mereka perlu memindahkan ibu pejabat ke sini. Ini adalah perkara yang betul untuk dilakukan (kerajaan negeri),” katanya.

Mengulas tentang penubuhan PETROS dan Bank Pembangunan Sarawak (DBOS), Dr Ting mendakwa tidak banyak maklumat atau laporan khasnya aspek kewangan sejak ditubuhkan hampir tiga tahun lalu.

Beliau juga mendakwa, isu PETROS dan DBOS tidak dibahaskan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang lalu.

“Saya rasa banyak tenaga dan usaha telah digunakan untuk menubuhkan dua entiti ini dan kerajaan negeri harus jelas dalam menerangkan visi untuk masa depan negeri berkaitan kewangan dan sumber-sumber negeri,” katanya.

Advertisement