Anda di sini

Remaja perempuan 16 tahun korban terbaru rabies di Sarawak

Advertisement
 

KUCHING: Wabak rabies meragut satu lagi nyawa di Sarawak melibatkan remaja perempuan berumur 16 tahun di sini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi kenyataan berkata mangsa dimasukkan ke Hospital Umum Kuching (HUS) pada 10 November 2020 dan meninggal dunia pada 11 November 2020. 

“Siasatan mendapati tiada sebarang sejarah gigitan anjing atau haiwan lain berlaku kepada mangsa ini. 

“Mangsa hanya mempunyai kesan cakaran yang telah sembuh di kaki kanan tetapi ahli keluarganya tidak dapat memberi perincian mengenainya. 

“Mangsa telah disahkan dijangkiti virus rabies pada 12 November 2020 melalui ujian makmal yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR),” katanya. 

Jelas Dr Noor Hisham, dengan pertambahan satu kes baharu rabies ini, jumlah kes rabies dalam kalangan manusia di Sarawak kini meningkat kepada enam orang tahun ini dan yang ke-28 sejak wabak ini diisytiharkan di Sarawak pada 31 Julai 2017.

Kementerian katanya dan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak akan terus memantau situasi rabies di Sarawak dan akan berkongsi maklumat terkini berkaitannya dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Sarawak dan DVS Malaysia bagi memastikan tindakan pencegahan dan kawalan rabies dilaksanakan dengan segara dan komprehesif.

“Kerjasama semua rakyat Sarawak amat diperlukan, dengan mematuhi semua nasihat kerajaan dan pihak berkuasa bagi memastikan masalah rabies di negeri ini dapat dikawal.

“Jangan biarkan haiwan peliharaan berkeliaran atau membuangnya di kawasan-kawasan awam,” nasihat Dr Noor Hisham. 

  • oleh
  • Advertisement