Anda di sini

Polis cari lelaki positif COVID-19 lari dari HQE1

Advertisement
HABIBI
HABIBI

KOTA KINABALU: Polis kini giat mengesan seorang pesakit positif COVID-19 yang melarikan diri semasa akan dirawat di Hospital Queen Elizabeth (HQE1) di sini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata kejadian berlaku apabila suspek bersama lima lagi pesakit lain dibawa dari Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Intan untuk ditempatkan di HQE1 bagi rawatan lanjut.

“Sebaik sampai di HQE1 mereka dibawa ke tingkat lima dan diarahkan untuk menunggu di ruangan lif sementara salah seorang daripada mereka dihantar ke wad berhampiran.

“Pengiring kumpulan yang kembali ke ruangan lif mendapati suspek tiada bersama tiga lagi pesakit sebelum bertanya kepada anggota RELA yang bertugas di tingkat terbabit,” katanya.

Beliau berkata petugas RELA itu menjelaskan suspek mengekori pengiring sebelum menghilangkan diri.

“Usaha mengesan lelaki terbabit terus dilakukan di sekitar hospital namun gagal menemui suspek.

“Siasatan lanjut mendapati suspek dimasukkan ke pusat kuarantin pada 13 November lalu selepas disahkan positif COVID-19,” katanya.

Katanya, setakat ini suspek masih gagal dikesan dan siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 270 Kanun Keseksaan dan Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

  • oleh
  • Advertisement