Anda di sini

BN Sabah sokong pengisytiharan darurat di Parlimen Batu Sapi

Advertisement
 Bung berkata BN Sabah menyokong keputusan YDPA mengisytiharkan darurat di Parlimen Batu Sapi sekaligus menangguhkan PRN Batu Sapi.
SOKONG: Bung berkata BN Sabah menyokong keputusan YDPA mengisytiharkan darurat di Parlimen Batu Sapi sekaligus menangguhkan PRN Batu Sapi.

KOTA KINABALU: Pengisytiharan Proklamasi Darurat sekaligus penangguhan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi disambut baik Barisan Nasional (BN) Sabah.

 Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin menyifatkan keputusan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) Al-Sultan Abdullah Ri’ayattuddin Al-Mustafa Billah Shah itu sebagai langkah proaktif melindungi rakyat daripada ancaman COVID-19.

“Baginda lebih mengutamakan keselamatan dan kesejahteraan rakyat,” katanya, menerusi kenyataannya, di sini, sebagai mengulas perkembangan terbaharu terbabit.

Bung yang juga Ketua UMNO Sabah berkata trend penularan pandemik terbabit perlu dijadikan iktibar semasa menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) pada September lepas.
 
Menurutnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendedahkan sebanyak 808 kes kumulatif COVID-19 dikesan pada hari penamaan calon PRN ketika itu (12 September).

“Manakala pada hari pengundian (26 September) pula, kumulatif kes didapati meningkat mendadak sehingga mencatatkan angka 1, 547 kes iaitu kira-kira 91.5 peratus,” katanya.

Malah, beliau berkata kemuncak peningkatan kes berlaku selepas empat minggu PRN selesai apabila Sabah muncul negeri tertinggi yang mencatatkan kes positif COVID-19.

Berikutan itu, Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya terbabit percaya semua pihak wajar melihat kesan rasional sekiranya PRK Parlimen Batu Sapi diteruskan.

“Kita bimbang dengan penularan pandemik ini yang mengambil masa untuk pulih dan selaras itu juga BN sejak awal lagi menetapkan pendirian untuk tidak meletakkan calon.

“Pengisytiharan darurat ini juga bukanlah menafikan hak demokrasi rakyat khususnya pengundi di Batu Sapi, tetapi PRK akan diteruskan jika penularan sudah reda,” katanya.

Terdahulu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata YDPA membuat keputusan itu kerana amat prihatin dengan keselamatan rakyat.

Khususnya, apabila berlakunya peningkatan mendadak kluster-kluster baharu dan kes positif COVID-19 di negara ini semenjak PRN Sabah pada 26 September berakhir.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari penamaan calon (23 September), hari mengundi (5 Disember) dan mengundi awal (1 Disember) sempena PRK Batu Sapi.

Keperluan untuk mengadakan PRK Batu Sapi berlaku selepas penyandangnya, Datuk Liew Vui Keong meninggal dunia pada 2 Oktober lepas berikutan jangkitan paru-paru.

  • oleh
  • Advertisement