Anda di sini

387 kes positif COVID-19 di Sabah pada Rabu

Advertisement
MASIDI
MASIDI

... Catat tiga kluster baharu iaitu Kluster Sabaru, Garden dan Kluster Tomher

Oleh Safrah Mat Salleh

KOTA KINABALU: Tiga kluster baharu dilaporkan di Sabah iaitu Kluster Sabaru di daerah Lahad Datu mencatatkan sebanyak 70 kes positif COVID-19; Kluster Garden di daerah Tawau tiga kes; dan Kluster Tomher di daerah Ranau 12 kes.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan juga merangkap Menteri Kewangan II Datuk Seri Masidi Manjun berkata dalam satu kenyataan Laporan Harian Kes Jangkitan COVID-19 pada 18 November 2020 jumlah kes positif baharu COVID-19 di negeri ini adalah sebanyak 387 kes dan dua kes kematian dicatatkan di daerah Sandakan.

Beliau berkata daripada 387 kes positif COVID-19 berkenaan, sebanyak 205 kes (52.97%) adalah berpunca dari Kluster Pusat Tahanan Sementara (PTS) Tawau (135 kes) dan Kluster Sabaru (70 kes) di daerah Lahad Datu.

Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Masidi berkata jumlah kumulatif ialah sebanyak 24,269 kes.

"Pada hari ini (18 November), seramai 237 pesakit COVID-19 telah discaj / sembuh dari hospital. Manakala, seramai 2,000 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 634 orang di hospital dan 1,366 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC). 

Bilangan pesakit COVID-19 dalam ICU ialah 66 orang dan 17 orang pula memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated).

"Daerah Tawau mencatatkan kes tertinggi pada hari ini. Daripada 169 kes yang direkodkan, sebanyak 135 kes adalah daripada Kluster Pusat Tahanan  Sementara (PTS) Tawau, 12 kes Kluster GK, Kluster Garden (3 kes) dan Kluster  Tanamera (1 kes). 

"Manakala saringan kontak rapat (7 kes), saringan bergejala (5 kes), saringan kendiri (3 kes), dan masing-masing satu (1) kes daripada  saringan kemasukan hospital, saringan pengiring dan saringan pembedahan. 

"Manakala daerah Lahad Datu pula, mencatatkan kes kedua tertinggi iaitu  sebanyak 80 kes. Daripada jumlah ini, Kluster Sabaru (70 kes), saringan  bergejala (3 kes), saringan kontak rapat (2 kes), saringan komuniti (2 kes) dan  masing-masing satu (1) kes daripada saringan petugas kesihatan, saringan  tempat kerja dan saringan Brought In Dead (BID)," jelasnya.

Tambahnya lagi, jumlah kapasiti katil di Hospital COVID-19 adalah sebanyak 990 katil. Sementara, bilangan katil di PKRC adalah sebanyak 5,368 katil yang menjadikan jumlah keseluruhan katil sebanyak 6,358 katil dengan peratus penggunaan 31.46%.

Mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pusat Tahanan Sementara  (PTS) Tawau, Penjara Sandakan dan Kuarters Penjara Taman Wira, Sandakan yang dijadual berakhir pada 19 November 2020 akan dilanjutkan selama 14 hari lagi bermula 20 November 2020 hingga 3 Disember 2020.

Beliau berkata ia adalah  atas nasihat dan penilaian risiko yang dilaksanakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Sementara itu, Masidi berkata PKPD di Kampung Nahaba dan Kampung Tegudon, Kota Belud, Sabah akan bermula pada 20 November 2020 sehingga 3 Disember 2020 berikutan peningkatan kes positif COVID-19 di lokaliti berkenaan.

Katanya pelaksanaan PKPD di dua lokaliti berkenaan akan melibatkan sebanyak 1,740 penduduk dengan prosedur operasi standard (SOP) PKPD yang sama digunapakai.

Mengenai Sekatan Jalan Raya (SJR), Masidi berkata sebanyak 71 SJR telah dilaksana melibatkan pemeriksaan 55,560 kenderaan di mana 158 buah kenderaan diarah berpatah balik manakala 29 kompaun dikeluarkan atas kesalahan melanggar SOP COVID-19. 

"Kadar pematuhan penduduk terhadap SOP PKPB ialah 97.88%.

"Tiga daerah mencatatkan kadar pematuhan yang tinggi ialah Kinabatangan (99%), Sipitang (99%) dan Kota Belud (99%).

"Penguatkuasaan SOP turut dijalankan di perairan laut Sabah oleh Pasukan Polis Marin yang melibatkan 21 pemeriksaan di kawasan Pantai Timur dan 15 pemeriksaan di perairan Kota Kinabalu dan Labuan. 

"Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah telah melaksanakan sanitasi  di 14 premis di tujuh (7) buah daerah iaitu Tawau, Kinabatangan, Semporna,  Kota Kinabalu, Sandakan, Beluran dan Lahad Datu," katanya.

Selain itu, beliau menambah bahawa PDRM juga telah melaksanakan 84 hebahan melalui kereta peronda, manakala hebahan umum Info On Wheels Jabatan Penerangan Sabah mengenai pematuhan SOP, amalkan 3W, elakkan 3C dan pembudayaan norma baharu telah dilaksanakan di 114 lokasi di 20 buah daerah yang dibuat dalam empat bahasa iaitu Bahasa Malaysia, Bahasa Mandarin, Bahasa Kadazan dan  Bahasa Bajau. 

Mengenai pengagihan bakul makanan, beliau memaklumkan bahawa sebanyak 190,951 bakul makanan telah diagihkan kepada golongan sasar.

"Kerjasama padu daripada semua pihak amat penting dalam usaha untuk memutuskan rantaian COVID-19 dengan mematuhi SOP yang sedang berkuatkuasa dan mengamalkan norma baharu dalam kehidupan seharian.

"Masyarakat juga dinasihatkan untuk menjalani ujian saringan dengan kadar segera sekiranya mempunyai kontak rapat dengan individu yang disahkan positif COVID-19," katanya.

  • oleh
  • Advertisement