Anda di sini

Kerajaan negeri sokong pembatalan PRK Batu Sapi

Advertisement
HAJIJI
HAJIJI

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menyokong penuh keputusan Yang di-Pertuan Agong yang mengisytiharkan proklamasi darurat sekaligus membatalkan pilihan raya kecil (PRK) Batu Sapi.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor menyifatkan pengisytiharan itu sebagai keputusan bijak memandangkan wabak COVID-19 masih mengancam kesihatan dan kesejahteraan rakyat di Sabah.

"Keperluan untuk menghentikan penularan virus dan melindungi kesihatan rakyat adalah sangat penting," katanya bagi mengulas kenyataan media yang dikeluarkan Istana Negara di sini.

Hajiji memberi jaminan kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana COVID-19 Negeri Sabah terus bekerjasama dengan pihak berkuasa yang relevan bagi menangani wabak terbabit di negeri ini.

Terdahulu, dalam kenyataan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Indera Ahmad Fadli Shamsudin memaklumkan, Yang di-Pertuan Agong membuat keputusan itu bagi mengelakkan gelombang keempat penularan wabak COVID-19 dan satu tarikh lain akan ditetapkan untuk PRK Batu Sapi.

Kerusi Parlimen Batu Sapi diisytiharkan kosong berikutan penyandangnya Datuk Liew Vui Keong dari Parti Warisan Sabah (WARISAN) meninggal dunia pada 2 Oktober lepas akibat jangkitan paru-paru.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini mengumumkan 23 November sebagai hari penamaan calon dan menetapkan 1 Disember hari pengundian awal dan 5 Disember sebagai tarikh PRK.

  • oleh
  • Advertisement