Anda di sini

13,174 kapal diperiksa

Advertisement
 Sekumpulan anggota APMM Sarawak memeriksa bot nelayan tempatan dan menyemak identiti kru serta mengambil suhu mereka.
OPERASI: Sekumpulan anggota APMM Sarawak memeriksa bot nelayan tempatan dan menyemak identiti kru serta mengambil suhu mereka.

KUCHING: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sarawak telah melakukan 13,174 pemeriksaan kapal dengan 64 daripadanya ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan dalam tempoh Januari 2020 hingga November 2020.

Pengarah Maritim Sarawak Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata, kebanyakan mereka yang ditahan didapati melanggar Akta Perikanan seperti menangkap ikan terlalu dekat dengan pinggir laut dan pekerja asing yang telah tamat permit.

“Fokus utama kami sekarang adalah Ops Benteng dan Ops Kuda Laut untuk mencegah pendatang asing tanpa izin (PATI) daripada menceroboh pesisir pantai kita dalam usaha mengekang penularan wabak COVID-19.

“Justeru, Opx Kuda Laut dilancarkan pada 24 Jun 2020 untuk menahan kapal nelayan asing Vietnam di Laut China Selatan termasuk perairan Sabah dan Sarawak dan setakat ini, 10 orang telah ditahan,” ujar Zin Azman kepada sekumpulan wartawan yang menyertai APMM di laut semalam dengan menaiki kapal KM Cekal untuk mengalami sendiri operasi yang dilaksanakan oleh maritim Sarawak.

“Sehubungan itu, pihak kami ingin memaklumkan bahawa setakat ini, APMM Sarawak berjaya mengekang PATI daripada memasuki negeri kita,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai kemungkinan PATI menceroboh perairan negara, beliau berkata kadar pencerobohan tinggi jika lokasinya berada di sempadan negara, yang terletak sekitar 200 batu nautika dari markas APMM Sarawak.

“Kapal nelayan haram ini biasanya beroperasi di perbatasan negara dan di Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia yang berjarak 200 batu nautika dari markas APMM Sarawak.

“Jika mereka melihat kapal kami datang, mereka akan meninggalkan perbatasan dan jika tidak, kami akan menghalau mereka keluar dari sempadan,” katanya.

Sementara itu, beliau mengingatkan masyarakat maritim agar mengambil langkah-langkah keselamatan apabila tiba musim tengkujuh yang dijangka berlaku antara November hingga Mac 2021, seperti sering memakai jaket keselamatan ketika berada di laut dan memastikan kapal atau bot mereka sentiasa dalam keadaan baik, termasuk memasang ‘Personal Locator Beacon (PLB)’.

“Semasa musim tengkujuh, laut akan bergelora dan berbahaya bagi perahu kecil dan nelayan tradisional.

“Oleh itu, pihak kami ingin mereka selamat ketika keluar di laut dan sila pastikan jaket keselamatan dipakai setiap saat kerana anda tidak dapat meramal cuaca,” katanya sambil menambah, orang ramai juga dinasihati tidak pergi ke laut buat sementara waktu dan selalu merujuk kepada laporan cuaca daripada Jabatan Metereologi.

Untuk melaporkan sebarang keadaan kecemasan dan perkara mencurigakan, masyarakat maritim diminta menghubungi Pusat Operasi APMM di talian 082-432544 atau menghubungi MERS 999 yang beroperasi 24 jam.

Advertisement