Anda di sini

Pistol asal yang digunakan Connery dalam James Bond akan dilelong sehingga AS$200,000

Advertisement

PISTOL Walther PP yang digunakan oleh mendiang Sean Connery dalam filem sulung James Bond akan disenaraikan dalam lelongan pada bulan depan di Los Angeles di mana ia dianggarkan dapat dijual dengan harga AS$150,000 hingga AS$200,000.

Connery, pelakon legenda dari Scotland, yang meninggal dunia pada bulan lepas di usia 90 tahun di rumahnya di Kepulauan Bahamas, menggunakan pistol itu di dalam filem ‘Dr No’ pada 1962.

“Bayang-bayang 007 yang memegang pistol ini seterusnya menjadi imej paling ikonik bagi francais James Bond dan salah satu rujukan budaya pop paling dikenali sepanjang zaman,” kata Martin Nolan selaku pengarah eksekutif Julien’s Auctions.

Dalam ‘Dr No’, Bond yang pada mulanya ragu-ragu akur apabila diarah oleh ketuanya dalam Jabatan Sulit Britain untuk menggantikan pistol Beretta lamanya yang tidak berfungsi dengan baik dengan pistol Walther itu, yang mempunyai “penyampaian seperti batu bata menerusi tingkap kaca pinggan”.

“CIA Amerika berani bersumpah dengannya,” Bond dimaklumkan.

Versi pistol Walther kekal sebagai senjata api utama 007, dalam kira-kira 25 buah filem kemudian.

Prop pistol yang tidak diaktifkan, satu daripada dua pucuk yang digunakan dalam filem sulung Connery, dimiliki penyimpan senjata api filem asal sebelum ia dijual dalam satu lelongan pada 2006.

Ia merupakan satu daripada lebih 500 benda dalam lelongan ‘Icons & Idols TRILOGY: Hollywood’ yang akan diadakan di Beverly Hills dalam dalam talian pada 3 Disember.

Memorabilia lain yang menarik termasuk topi keselamatan juruterbang yang dipakai oleh Tom Cruise dalam ‘Top Gun’ dan jaket motosikal kulit haiwan Arnold Schwarzenegger dari ‘Terminator 2: Judgment Day’.

Filem Bond seterusnya, dipercayai filem terakhir bagi 007 sekarang iaitu Daniel Craig, telah ditunda kerana pandemik COVID-19.

‘No Time To Die’ sekarang dijadual dikeluarkan pada April tahun depan.

Connery menikmati sanjungan dan kemasyhuran yang berke-kalan di seluruh dunia kerana lakonan loghat Scottish yang lancar bagi pengintip yang sopan santun dengan lesen untuk membunuh itu da-lam beberapa buah filem.

Connery, pelakon pertama untuk menyebut ungkapan “Bond, James Bond” yang tidak dapat dilupakan, dilihat oleh ramai peminat sebagai memberikan lakonan terbaik bagi watak ciptaan penulis novel Ian Fleming itu.

Connery mengalami demensia pada tahun-tahun terakhir hidupnya, menurut balunya, Micheline Roquebrune. — AFP

Advertisement