Anda di sini

Kenaikan bantuan golongan sasar KPWKM hasil lawatan PM

Advertisement
 Rina ketika sidang media khas mengenai peruntukan Belanjawan 2021 untuk kementeriannya, kelmarin. — Gambar Bernama
BANTU GOLONGAN SASAR: Rina ketika sidang media khas mengenai peruntukan Belanjawan 2021 untuk kementeriannya, kelmarin. — Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Kanak kanak, warga emas dan mereka yang sakit terlantar adalah antara kira-kira 400,000 penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang akan mendapat manfaat daripada bantuan bulanan yang dinaikkan dalam Belanjawan 2021.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata kerajaan memutuskan untuk meningkatkan jumlah bantuan bulanan itu hasil lawatan ‘turun ke bawah’ para pemimpin termasuk Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin serta beliau sendiri.

“Keprihatinan kerajaan dalam memelihara kebajikan golongan yang terkesan dapat dilihat apabila KPWKM (Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) menerima peningkatan peruntukan bagi golongan sasar.

“Dengan mengambil kira kenaikan kos sara hidup, kadar pendapatan garis kemiskinan baharu, peningkatan peruntukan golongan sasar sangat membantu (menangani) bebanan kewangan golongan ini,” katanya dalam sidang media pasca pembentangan Belanjawan 2021 kementeriannya di KPWKM di sini kelmarin.

Dalam pembentangan Belanjawan 2021 pada 6 November lepas, KPWKM menerima peruntukan mengurus dan pembangunan RM2.58 bilion, iaitu peningkatan 6.24 peratus daripada peruntukan tahun 2020.

Selain itu, KPWKM menerima tambahan peruntukan sebanyak RM791 juta untuk inisiatif baharu kementerian termasuk kenaikan kadar bantuan kewangan bulanan persekutuan, yang menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan bagi KPWKM sebanyak RM3.38 bilion.

Menurut beliau, daripada 400,000 penerima bantuan JKM itu, seramai 27,753 orang adalah pesakit kronik terlantar yang sedang menerima bantuan RM350 sebulan, dan jumlah itu dinaikkan kepada RM500 sebulan di bawah Belanjawan 2021.

“Mereka yang sakit terlantar memerlukan susu khas yang berharga RM80 satu tin dan diharapkan kenaikan bantuan itu dapat meringankan beban
kewangan golongan berkenaan,” katanya, sambil menambah golongan warga emas turut menikmati jumlah kenaikan yang sama.

Bantuan bulanan kanakkanak keluarga miskin yang sebelum ini RM100 seorang dengan kadar maksimum RM450 bagi satu keluarga, kini dinaikkan kepada RM200 seorang bagi kanak kanak berusia enam tahun dan ke bawah, dan menjadi RM150 sebulan bagi kanak kanak berusia tujuh hingga
18 tahun.

Kadar maksimum bantuan bulanan bagi satu keluarga pula meningkat daripada RM450 kepada RM1,000.

Bantuan orang kurang upaya (OKU) tidak berupaya bekerja dinaikkan daripada RM250 kepada RM300 sebulan, manakala bantuan elaun pekerja OKU dinaikkan daripada RM400 kepada RM450.

Rina berkata selain peningkatan bantuan, akan berlaku penambahan dari segi jumlah mereka yang layak memohon dan diluluskan untuk menerima bantuan.

— Bernama

Kenaikan sagu hati mampu lahirkan lebih ramai sukarelawan

ROBIA
ROBIA

KUCHING: Pengusaha taska, Robia Anuar, 36, berkata bantuan yang diumumkan dalam Belanjawan 2021 pastinya akan memperkasakan golongan wanita dan kanakkanak.

Tegas beliau, sebagai pengusaha taska, bantuan itu boleh dimanfaatkan untuk penambahbaikan lagi perkhidmatan dan bahan pembelajaran kanak-kanak.

“Khasnya semasa kesukaran pandemik ini, bantuan sedemikian sedikit sebanyak membantu kelangsungan pengurusan dan pengoperasian untuk terus bertahan.

“Bagi saya pendidikan awal kanak-kanak sangat penting kerana kanak-kanak diibarat kain putih yang perlu dicorakkan oleh ibu bapa supaya menjadi pelapis generasi negara.

“Pendidikan awal kanak-kanak amat penting dalam menentukan hala tuju kehidupan mereka pada masa akan datang,” katanya yang menyambut baik pengumuman bantuan RM30 juta bagi menyediakan taska di bangunan kerajaan dan RM20 juta untuk geran padanan sektor swasta bagi menubuhkan taska.

Robia yang mengusahakan Rich Minds Childcare Centre di Stakan, Kota Samarahan berkata, pembelajaran di peringkat awal kanak-kanak dan perkembangan mereka dari segi mental, emosi dan sosial adalah amat kritikal.

Sebab itulah katanya, pendidikan awal kanak-kanak dianggap sebagai pelaburan yang cukup penting oleh ibu bapa buat anak mereka.

“Bukan itu sahaja, dalam pendidikan awal kanak-kanak, mereka akan belajar bersosial dengan rakan sebaya, mengenal diri, mengembangkan sahsiah dan meningkatkan keyakinan diri,” ujarnya.

Pusat sokongan sosial setempat amat diperlukan

SABRINA
SABRINA

KOTA KINABALU: Pengerusi ‘Society for Equality, Respect And Trust for All’ (SERATA) Sabrina Aripen berkata, peruntukan RM21 juta untuk pusat sokongan sosial setempat dapat membantu wanita yang menghadapi masalah keganasan membabitkan gender.

“Penubuhan pusat komuniti (peruntukan RM20 juta) sebagai pusat transit untuk menjaga anak-anak kumpulan B40 di luar sekolah adalah langkah sokongan yang sangat dialu-alukan.

“Ini akan membantu memastikan anak-anak mempunyai tempat selamat dan dijaga dengan baik sementara ibu bapa mereka keluar bekerja," jelasnya.

Selain itu katanya, ramai dalam kalangan ibu bapa yang bekerja gembira dengan tindakan kerajaan menubuhkan pusat jagaan anak di syarikat swasta.

Kredit mikro khas bantu usahawan wanita bangkit

ANITA
ANITA

KOTA KINABALU: Presiden Dewan Perniagaan Usahawan Sabah (DPUSabah) Anita Mohammed berkata, peruntukan pembiayaan kredit mikro khas sebanyak
RM95 juta untuk usahawan wanita akan membantu perniagaan kecil bagi memulakan semula bisnes yang terjejas teruk berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik COVID-19.

Katanya, kemudahan pembiayaan kredit yang akan dikeluarkan melalui TEKUN Nasional, MARA, dan Agrobank diharap dapat membantu banyak perniagaan kecil, penjaja dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang berpengalaman.

“Pembiayaan kredit mikro biasanya menawarkan pinjaman kurang dari RM50,000. Pinjaman seperti ini tidak akan menarik minat perusahaan bersaiz sederhana dan besar, jadi saya rasa kerajaan sedang fokus membantu usahawan B40 dan M40 untuk menghidupkan kembali ekonomi.

“Ini satu langkah yang praktikal memandangkan kebanyakan golongan B40 dan M40 tidak mempunyai banyak simpanan dan PKP turut menjejaskan pendapatan mereka.

“Justeru, pemberian Bantuan Prihatin Nasional (BPN) tentunya memberi kesan positif kepada ekonomi kerana ia melibatkan perbelanjaan yang besar daripada golongan berkenaan,” jelasnya.

Anita turut menyokong peruntukan RM50 juta kepada Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam (YaPEIM) untuk perniagaan berasaskan pajak gadai Islam melalui Ar-Rahnu BizNita.

Menurutnya, data yang diperoleh tahun lepas, kirakira 64 peratus daripada lebih 8,000 pelanggan Ya-PEIM menggunakan emas mereka untuk memperoleh pembiayaan, meneruskan dan menceburkan diri dalam perniagaan baharu dengan gadaian berjumlah RM100 juta.

Beliau berkata, pengusaha wanita yang menjimatkan pendapatan sebelum COVID-19 dengan membeli emas akan dapat menikmati tawaran yang lebih baik melalui inisiatif berkenaan.

“Inisiatif khusus ini akan memudahkan wanita membuat pinjaman dengan cepat dengan aset emas dengan bayaran minimum, tanpa membebankan mereka berbanding dengan pajak gadai swasta,” katanya.

Batu loncatan untuk wanita kembang perniagaan

 Helni gembira bantuan yang diberikan kepada wanita untuk memperkasakan perniagaan mereka ketika berdepan pandemik COVID-19.
BANTU WANITA: Helni gembira bantuan yang diberikan kepada wanita untuk memperkasakan perniagaan mereka ketika berdepan pandemik COVID-19.

KUCHING: Pengusaha kek keju Helni Jamil, 31, berkata bantuan khusus untuk wanita dan kanak-kanak dalam Belanjawan 2021 amat bertepatan untuk menjamin kesejahteraan golongan tersebut.

Menurutnya, pembiayaan mikro kredit khas melalui Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (TEKUN), Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan AgroBank
berjumlah RM95 juta serta RM50 juta di bawah YaPIEM melalui Ar-Rahnu Biznita dapat menambah modal sedia ada sekaligus menjadi pemangkin kejayaan sebagai usahawanita berinovasi dalam perniagaan.

“Ia juga sebagai batu loncatan kepada wanita selain dapat membantu wanita untuk mengembangkan perniagaan kami bagi membeli kelengkapan
bagi menampung permintaan pelanggan.

“Pada masa sama ini dapat membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat khasnya wanita dalam mendepani cabaran yang dihadapi ketika pandemik COVID-19 ini,” ujarnya yang mengusahakan Helni Cake House di Desa Ilmu, Kota Samarahan.

Mengenai bantuan RM10 juta untuk saringan kanser servik dan mammogram serta RM90 juta bagi Program Imunisasi Pneumokokal untuk kanak-kanak, Helni berkata, ia amat baik bagi menjamin kesihatan dan keselamatan wanita dan kanak-kanak di negara ini untuk mendapatkan perkhidmatan
kesihatan.

“Maka, amat rugilah kalau kita tidak mengambil peluang yang diberikan kerajaan ini demi manfaat dan kesejahteraan wanita dan kanak-kanak,”
ujarnya.

Sementara itu, Pembantu Pemaju Masyarakat Sukarelawan Haslina Seruji, 31, berkata beliau amat gembira dengan peruntukan RM170 juta bagi Program Pendidikan Awal di Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dalam membantu memperkasakan pendidikan awal kanak-kanak di negara ini.

Jelasnya, dengan peruntukan itu, lebih banyak program yang berimpak tinggi dapat dilaksanakan sekaligus membantu pembangunan modal insan melibatkan kanak-kanak di peringkat awal.

“Saya berpuas hati dengan Belanjawan 2021 terutamanya peruntukan yang besar yang diberikan kerajaan kepada KEMAS bagi meningkatkan kualiti pendidikan awal kanak-kanak di KEMAS.

“Justeru, saya berharap dengan adanya peruntukan yang besar ini dapat merancakkan lagi pembangunan pendidikan awal kanak-kanak di KEMAS khususnya di negeri Sarawak,” jelasnya.

Selain itu, Haslina berkata bantuan yang disediakan dalam Belanjawan 2021 juga banyak memberi manfaat dalam meningkatkan sosioekonomi termasuk jaminan kesihatan kepada golongan sasar seperti wanita dan kanak-kanak.

Katanya, mengambil contoh bantuan untuk wanita menceburi bidang perniagaan, ia dapat membantu mereka meneruskan kehidupan khususnya yang kehilangan pekerjaan dengan menceburi bidang perniagaan secara kecil-kecilan.

Advertisement