Anda di sini

Cuba rompak pekerja kedai, kelindan lori dipenjara 12 bulan

Advertisement
Kedua-dua tertuduh diringi polis semasa berada di Kompleks Mahkamah Kuching.
Kedua-dua tertuduh diringi polis di Kompleks Mahkamah Kuching, hari ini.

KUCHING: Seorang kelindan lori dipenjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana cuba merompak seorang pekerja kedai serbaneka 24 Jam dengan bersenjatakan objek menyerupai pistol pada awal November lalu.

Majistret Zaiton Anuar juga menetapkan tertuduh, Mohd Sobri Sahmad, 23, yang mengaku bersalah mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan untuk didenda RM1,000 atau sebulan penjara sekiranya gagal membayar denda.

Mahkamah turut menetapkan hukuman penjara berkuat kuasa dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu 4 November lalu. 

Selain Sobri, turut mengaku bersalah melakukan cubaan rompakan dan didakwa mengikut Seksyen sama adalah seorang lagi rakannya yang berusia 16 tahun.

“Mahkamah menetapkan 10 Disember hadapan untuk mendengar laporan akhlak bagi tertuduh kedua yang merupakan pesalah muda.

“Sementara itu, tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin mahkamah RM5,000 dengan ibu bapanya sebagai penjamin,” ujar Zaiton semasa prosiding. 

Mengikut pertuduhan, kedua-dua lelaki tersebut didakwa cuba merompak pekerja kedai serbaneka 24 jam di kedai tersebut di Taman Sukma, Jalan Sultan Tengah di sini, pada 4 November lalu, jam 2.10 pagi. 

Berdasarkan fakta kes, salah seorang daripada tertuduh (Sobri) masuk ke dalam kedai dengan alasan untuk memberi kad tambah nilai.

Tertuduh kemudian bertindak mengacukan pistol ke arah mangsa dan mengarahkan mangsa untuk membawanya pergi ke bilik belakang kedai tersebut.

Semasa tertuduh melangkah masuk ke bilik belakang, mangsa memberitahu tertuduh bahawa dia tidak mempunyai akses untuk membuka peti simpanan wang dan ketika tertuduh leka, mangsa kemudian terus menyambar pistol itu dari tangan tertuduh.

Tertuduh kemudian berjaya ditahan oleh pekerja di premis tersebut dan diserahkan kepada polis sementara rakannya yang menunggang motosikal ditahan selang beberapa jam kemudian.

Dalam pada itu di mahkamah sama, Sobri turut dipenjara lima bulan selepas mengaku bersalah di bawah Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 kerana memiliki pistol palsu untuk tujuan merompak, dalam kejadian yang sama. 

Mahkamah turut mengarahkan agar hukuman penjara berjalan dari tarikh dia ditangkap. 

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam. 

  • oleh
  • Advertisement