Anda di sini

Bekas pegawai bank didakwa 39 pertuduhan pecah amanah

Advertisement
Tertuduh (kanan) dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen di Sibu, hari ini.

SIBU: Seorang bekas pegawai bank berusia 28 tahun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini bagi menghadapi 39 pertuduhan pecah amanah (CBT).

Tertuduh Andrew Yang Li Yu mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Arif Aizuddin Masrom di hadapan Hakim Caroline Bee Majanil.

Hakim Caroline yang membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM15,000 dengan dua penjamin tempatan, juga memerintahkan tertuduh untuk melapor diri di balai polis terdekat dalam masa dua minggu sekali dan pasportnya diserahkan ke mahkamah.

Terdahulu, timbalan pendakwa raya Mohamad Arif Aizuddin Masrom meminta mahkamah mempertimbangkan jumlah pertuduhan dan menetapkan jaminan RM30,000.

Namun, Yang merayu agar jaminan dikurangkan antara RM10,000 hingga RM15,000 kerana dia baharu mendapat pekerjaan.

Tertuduh juga memberitahu mahkamah bahawa dia kehilangan pasportnya dua tahun lalu. 

Setelah mendengar perjelasan tersebut, Hakim Caroline mengizinkannya untuk menyerahkan pasport setelah ia dijumpai kelak.

Yang didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum satu tahun dan penjara maksimum 14 tahun dengan sebatan dan juga boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Dia didakwa melakukan transaksi dan menggunakan wang 39 pelanggannya untuk kegunaannya sendiri antara tahun 2017-2019, berjumlah RM65,400.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam, dikehendaki hadir di mahkamah sekali lagi untuk pengurusan kes pra perbicaraannya pada 10 Disember ini.
 

  • oleh
  • Advertisement