Anda di sini

Maritim, PIBG SMK Sandakan sumbang bakul makanan untuk 47 keluarga nelayan tradisional

Advertisement
 Zainudin menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada salah satu keluarga nelayan tradisional.
SUMBANGAN: Zainudin menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada salah satu keluarga nelayan tradisional.

SANDAKAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Sandakan, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sandakan dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sandakan telah mengadakan program 'Reach, Relief and Caring Programme' di Tanjung Aru dan Pulau Berhala di sini.

Maritim Malaysia bersama 13 Pegawai Pendidikan Daerah Sandakan (PPD Sandakan) dan guru-guru Sekolah Menengah Kebangsaan Sandakan (SMK Sandakan) telah menjayakan program berkenaan.

Program bermula dengan taklimat daripada Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Zainudin Mohd Zuki berkaitan keselamatan di laut.

Seterusnya disusuli dengan acara penyerahan modul dan soalan latihan oleh PPD Sandakan kepada 13 pelajar dari Kampung Tanjung Aru dan sembilan pelajar Kampung Pulau Berhala yang akan menduduki peperiksaan SPM.

Turut diagihkan 22 bakul makanan sumbangan daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Sandakan, manakala 25 lagi sumbangan daripada warga kerja Zon Maritim Sandakan berupa barang makanan seperti beras, minyak masak, gula dan lain-lain.

Zainudin berkata Zon Maritim Sandakan prihatin dengan kesusahan masyarakat Kampung Tanjung Aru dan Kampung Pulau Berhala yang majoriti adalah golongan nelayan tradisional pesisir pantai serta sangat terjejas berikutan pandemik COVID-19 dan musim peralihan monsun ini.

"Sebagai persediaan peralihan monsun dan musim tengkujuh, pihak Zon Maritim Sandakan telah menyerahkan surat pematuhan keselamatan di laut kepada ketua kampung berkenaan," katanya.

Sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh terus menghubungi Maritim Malaysia di talian 24 jam iaitu MERS 999 dan Pusat Operasi Zon Maritim Sandakan di talian 089- 229504.

  • oleh
  • Advertisement