Anda di sini

Bibie Sulu daripada penyanyi kini bergelar usahawan

Advertisement
 Inilah wangian hasil ciptaan Bibie Sulu.
JENAMA SENDIRI: Inilah wangian hasil ciptaan Bibie Sulu.

CATHERINA Suluwaty Harry Usup atau lebih dikenali dengan nama Bibie Sulu merupakan seorang penyanyi tempatan di Sarawak.

Beliau dahulu pernah popular dengan lagu ‘Peruji Ati’ bersama bekas band beliau iaitu Band Swan Angel.

Beliau juga pernah mengeluarkan album solo ‘Memori Ransi’ di bawah naungan LUH Production Sdn Bhd pada 2014 dan terbaharu album solo kedua ‘Tapang Bisi Rembia’ pada awal Januari 2020.

Selain menyanyi, beliau juga merupakan seorang Health, Safety & Environment Personnel (HSE) yang bekerja di sebuah syarikat swasta.

Pada masa sama, beliau juga menyambung pembelajaran dalam bidang Health, Safety & Environment di sebuah universiti tempatan.

Ketika ditemui di Sibu, Bibie berkata walaupun bergelar penyanyi, seorang pelajar dan bekerja di sebuah syarikat swasta tetapi minat beliau dalam perniagaan tidak pernah hilang.

Menurutnya, dari kecil beliau selalu menemani ibunya berniaga menjual kuih muih, sayur, buah dan sebagainya.

“Apatah lagi bapa saya juga seorang ahli perniagaan dan pernah membuka kedai buku.

“Saya pernah menjaga kedai bapa saya selepas habis Tingkatan 6 pada 2012 sementara menunggu tawaran kerja.

“Dari situ saya belajar bagaimana cara mengurus perniagaan.

“Semasa menjaga kedai bapa saya, pada masa sama saya cuba buat perniagaan dalam talian sendiri iaitu dengan menjual baju ‘Korean fashion’ dan baju ‘handmade’ (beliau menerima tempahan melukis nama ikut permintaan pelanggan),” katanya.

 Bibie Sulu menunjukkan wangian jenamanya sendiri.
HARUM: Bibie Sulu menunjukkan wangian jenamanya sendiri.

Beliau menggunakan Facebook dan Instagram untuk promosi dan menerima tempahan pelanggan.

Itulah kali pertama beliau mencuba nasib dalam bidang perniagaan dalam talian iaitu semasa berumur 20 tahun.

Pada 2014, beliau mendapat tawaran bekerja di sebuah syarikat swasta. Bermula dari situ, beliau tidak ada masa mengurus perniagaan dalam talian dan menerima tempahan membuat baju ‘handmade’.

Apatah lagi ketika hujung minggu atau sebelah malam habis waktu bekerja, beliau sibuk dengan undangan persembahan nyanyian,  latihan ‘jamming’ bersama bekas bandnya sehingga tidak ada masa mengurus perniagaan.

Selepas sekian lama senyap dari bidang perniagaan, sekali lagi beliau cuba berniaga atas talian menjual baju.

Tetapi, kata Bibie, ia agak kurang mendapat sambutan mungkin disebabkan ramai aktif dengan perniagaan dalam talian terutamanya menjual baju ketika itu dan banyak persaingan.

Jadi, jelasnya, beliau berhenti seketika dan fokus kepada kerja hakiki dan bidang nyanyian sahaja.

Tetapi, memandangkan darah perniagaan sentiasa mengalir dalam tubuhnya, beliau sekali lagi cuba berniaga bidang kecantikan iaitu Nail Manicure Service (Mobile Nail Spa) pada 2019.

Beliau memulakan bisnes dan mendapat pelanggan kali pertama di Niah, Miri kerana beliau ketika itu bekerja di kawasan Niah.

Beliau ambil tempahan dan buat servis di rumah pelanggan.

Sehingga ke kawasan Miri dan Sibu beliau pernah ambil tempahan dan buat servis ‘Nail Manicure’.

Pada Mac 2020, sekali lagi beliau diuji bidang perniagaan dan memberi impak kepada usahawan dan peniaga lain apabila dunia dilanda COVID-19 dan negara kita terpaksa melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga banyak sektor perniagaan tidak dapat berperasi.

Sejak itu, beliau tidak dapat meneruskan servis ‘Nail Manicure’. Undangan persembahan menyanyi pun tidak dapat diteruskan ketika itu.

Selain beliau, ramai juga artis, usahawan dan ahli perniagaan yang terkesan.  

Walaupun sekarang perniagaan sudah dibenarkan beroperasi, tetapi beliau tidak dapat meneruskan servis ‘Nail Manicure’ kerana sekarang bekerja di kawasan pedalaman, keadaan tidak sesuai dan tidak mempunyai masa memberi servis ‘Nail Manicure’ kepada pelanggan.

Bagaimanapun, beliau seorang tidak pernah putus asa.

“Gagal sekali, tidak bermakna gagal selama-lamanya”, katanya.

Dengan semangat kuat, sekali lagi Bibie cuba untuk berniaga.

Tetapi kali ini, beliau mengeluarkan produk jenama sendiri iaitu jenama B’Sulu.

Produk yang dikeluarkan oleh beliau ialah produk wangian untuk kereta dan badan.

Produk wangian kereta saiz 9ml keluaran beliau ini juga boleh digunakan di bilik mandi, tandas, bilik tidur, pejabat juga dengan harga promosi RM10 (SS), RM13 (SM).

Kelebihan memiliki wangian kereta keluaran beliau ini ialah tahan lebih lama, bau kualiti tinggi, ‘packaging’ eksklusif, boleh tahan satu bulan, bau segar dan eksklusif. Untuk produk wangian badan pula, ada dua saiz botol iaitu 10ml dan 35ml.

Untuk saiz 10ml, berharga RM12 (SS), RM15 (SM) dan untuk saiz 35ml, berharga RM36 (SS), RM39 (SM).

Kelebihan wangian badan keluaran beliau ini juga ialah kualiti EDP (Eau De Parfum), mesra solat, mudah dibawa, harga mampu milik dan ‘long lasting’.

Kandungan yang terdapat dalam pembuatan minyak wangi badan keluaran beliau ini ialah Parfum Fragrance 55 peratus, Natural Flora Ethyl 40 peratus dan Aqua, Oil (lima peratus).

Proses kandungan Natural Flora Ethyl yang digunakan adalah dari tebu. Jadi minyak wangi badan ini juga selamat digunakan pengguna yang beragama Islam.

Harga promosi sehingga 30 November 2020.

Bila ditanya kenapa ingin mencuba perniagaan ini beliau menjawab, “Saya mencuba mengeluarkan produk jenama sendiri kerana memang saya impikan sekian lama selain mencari rezeki lebih dan ingin membantu orang mencari rezeki menjual produk saya, terutamanya dalam keadaan ekonomi sekarang tidak menentu ramai masyarakat terkesan terutama diberhenti kerja.

“Jadi, dengan perniagaan saya ini saya boleh membantu serba sedikit masyarakat di luar sana mendapatkan ‘income’.

“Saya juga memilih membuat perniagaan ini kerana dengan keadaan saya bekerja jauh di pedalaman dan tempat kerja tidak tetap kerana mengikut projek, saya boleh monitor perniagaan dari jauh dibantu oleh Angela Dawi di HQ (Sibu) dan saya hanya berkomunikasi dengan ‘reseller’ menggunakan hujung jari,” jelasnya.

Beliau memilih ayat ‘Lets scent leave a memory’ untuk menjadi tema produk wangian keluaran beliau.

Beliau memilih ayat tersebut kerana ayat tersebut terlalu dekat dengan kehidupan beliau.

“Apabila orang kita sayang meninggalkan kita, hanya aroma baunya yang tinggal menjadi kenangan dan sentiasa diingati,” katanya.

Selain itu, beliau memilih mengeluarkan produk seperti minyak wangi ini kerana beliau percaya ramai masyarakat kita mementingkan penampilan diri dan sentiasa ingin merasa wangi memberi keyakinan pada diri sendiri apabila berhadapan dengan orang lain.

Setakat ini, sudah ada agen berdaftar menjual produk wangian B’Sulu keluaran penyanyi Bibie Sulu ini sehingga ada yang dari Semenanjung Malaysia berminat menjadi agen.

  • oleh
  • Advertisement