Anda di sini

Hilang di laut semalaman, tiga lelaki selamat

Advertisement
 Tiga lelaki lengkap berpakaian jaket keselamatan berjaya ditemukan dengan selamat.
SELAMAT: Tiga lelaki lengkap berpakaian jaket keselamatan berjaya ditemukan dengan selamat.

KUDAT: Tiga lelaki yang hilang di perairan Kudat berjaya ditemukan dengan selamat di Pulau Malawali awal pagi semalam.

Pengarah Maritim Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata kesemua mangsa berumur 28 hingga 58 tahun hilang semasa menaiki bot pam di perairan Kampung Lagaton Pitas.

“Kejadian awal berlaku apabila mangsa dalam perjalanan balik ke Kampung Lagaton selepas membeli barangan keperluan di Karakit Pulau Banggi kira-kira jam 2.30 petang kelmarin.

“Mangsa bagaimanapun gagal dihubungi dan tidak sampai ke Kampung Lagaton selepas beberapa jam berada di laut sebelum kejadian dilaporkan kepada pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia),” katanya.

Beliau berkata bertindak dengan laporan itu, Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) diaktifkan bermula jam 6 petang dan ditunda selepas tidak menjumpai sebarang tanda-tanda penemuan mangsa.

“Operasi hari kedua dimulakan seawal jam 7 pagi membabitkan dua bot milik Maritim Malaysia dengan bantuan pihak polis serta Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta penduduk kampung dengan kawasan pencarian yang dipecahkan kepada empat sektor seluas 77 batu persegi.

“Mangsa kemudiannya berjaya ditemukan penduduk kampung jam 7.20 pagi sebelum dibawa balik dan disahkan keluarganya di Kampung Narutnung,” katanya.

Menurutnya kesemua mangsa berjaya ditemukan dengan selamat berikutan mangsa memakai jaket keselamatan yang memberi impak besar berkenaan aspek keselamatan di laut.

  • oleh
  • Advertisement