Anda di sini

510 tahanan positif COVID-19 

Advertisement
 Saleha ditemui media semasa menjalankan pemantauan di PTS Manggatal di sini.
SUDANG MEDIA: Saleha ditemui media semasa menjalankan pemantauan di PTS Manggatal di sini.

KOTA KINABALU: Seramai 510 tahanan di Pusat Tahanan Sementara (PTS) Manggatal di sini dan Tawau disahkan positif COVID-19 melalui saringan yang dijalankan terhadap 3,124 tahanan.

Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sharifah Sitti Saleha Habib Yussof berkata hasil ujian itu adalah dapatan melalui saringan yang dijalankan di PTS Manggatal pada 30 Oktober manakala 2 November bagi PTS Tawau.

“Bagi kes positif di Manggatal dan Tawau ianya membabitkan tahanan baharu yang mendapat keputusan negatif semasa saringan pertama dan tidak bergejala.

“Sebaik ditempatkan di PTS selama 14 hari, tahanan ini bagaimanapun mula menunjukkan gejala demam dan batuk sebelum disahkan positif COVID-19 dan kes masih dalam siasatan dan pemantauan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ,” katanya semasa sidang media di PTS Manggatal di sini.

Turut hadir Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji.

Saleha berkata MKN komited melaksanakan segala langkah yang perlu bagi memastikan penularan COVID-19 dapat dikawal di PTS iaitu menghentikan sesi lawatan pihak luar termasuklah ahli keluarga bagaimanapun aspek keselamatan, pihak konsul serta kedutaan negara luar adalah dikecualikan.

“Kita juga melaksanakan pengasingan melalui zon blok iaitu mengasingkan tahanan mengikut kategori selain memastikan tahanan di hospital dikawal sepenuhnya oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah di sini.

“Bagi PTS Tawau, JIM Sabah juga membantu kawalan keselamatan bagi orang tahanan yang berada di pusat kuarantin atau pusat rawatan tambahan.

“MKN juga dalam proses penilaian keperluan ‘makeshif treatment centre’ (MTC) bagi memudahkan pelaksanaan rawatan dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD),” katanya.

Beliau juga menggesa agar pengaktifan segera pusat kuarantin tahanan Pendatang Tanpa Izin (PTI) dilaksanakan segera bagi memastikan pengasingan antara tahanan mengikut kategori dapat dijalankan seterusnya mampu mengekang penularan di masa hadapan.

  • oleh
  • Advertisement