Anda di sini

Wanita kulit hitam ditembak polis akan failkan aduan

Advertisement
 Tapak peringatan untuk Stinnette dipaparkan di hadapan rumah keluarganya di Waukegan, Illinois kelmarin manakala Williams masih terlantar di hospital akibat kecederaan yang dialaminya. — Gambar AFP
TRAGEDI: Tapak peringatan untuk Stinnette dipaparkan di hadapan rumah keluarganya di Waukegan, Illinois kelmarin manakala Williams masih terlantar di hospital akibat kecederaan yang dialaminya. — Gambar AFP

WASHINGTON: Seorang wanita kulit hitam yang cedera manakala teman lelakinya mati ditembak anggota polis pada minggu lepas mengumumkan ketika menerima rawatan di hospital kelmarin bahawa beliau akan memfailkan aduan bagi mencabar versi rasmi kejadian itu.

“Saya kehilangan kekasih saya dan ayah kepada anak kami yang berusia tujuh bulan apabila seorang anggota polis melepaskan tembakan semasa kami mengangkat tangan kami ke atas," menurut Tafara Williams, 20, ketika sidang media maya oleh peguamnya Ben Crump.

Amerika Syarikat (AS) sekian lama menyaksikan tragedi rasisme dan kekejaman polis sejak pembunuhan lelaki kulit hitam George Floyd oleh anggota polis kulit putih di Minneapolis pada Mei merangsang pergerakan bantahan terbesar di negara itu sejak beberapa dekad.

Sejak itu, kejadian tembakan dan insiden terbaharu melibatkan kekejaman polis yang sengaja menyasarkan penduduk kulit hitam mencetuskan bantahan baharu.

Kejadian tembakan terhadap Williams dan teman lelakinya, Marcellis Stinnette, 19, berlaku pada 20 Oktober lalu di pinggir bandar utara Chicago.

Seorang anggota polis melepaskan tembakan ke arah kereta yang dipandu Williams, mencederakannya dan membunuh Stinnette yang berada di tempat duduk penumpang.

Anggota polis itu yang berbangsa Hispanik dan tidak dinyatakan namanya, kemudian telah dipecat.

Pihak polis menyatakan seorang lagi anggota polis pada mulanya cuba menyiasat kereta mereka yang didakwa kelihatan mencurigakan, namun pasangan tersebut melarikan diri.

Anggota polis kedua kemudian campur tangan, namun kenderaan itu dikatakan berundur ke arahnya dan dia melepaskan tembakan.

Williams menyatakan beliau sedang merokok bersama Stinette di dalam kereta yang diparkir di depan rumahnya semasa anggota polis pertama menghampiri mereka.

Selepas berbual, beliau mendakwa telah memandu pergi secara senyap.

“Saya memandu pergi dengan perlahan sekali dan anggota polis itu tidak mengekori saya,” jelas beliau.

Namun ketika beliau masuk ke simpang, anggota polis kedua kelihatan menunggu.

Sambil menangis, beliau mengakui berlaku satu pelanggaran.

“Saya hilang kawalan, anggota polis itu menembak ke arah kami.

"Saya terus menjerit, saya tidak mempunyai senjata,” jelas beliau.

Tangannya telah diangkat ke atas, namun beliau tidak boleh bergerak akibat kecederaannya, katanya lagi.

“Saya masih bertanya kenapa, kenapa dia telah menembak.”

Datuk bandar berjanji akan menyiarkan rakaman video tembakan kepada umum pada minggu ini dan keluarga mangsa diminta bertenang.

Crump, yang mewakili Williams dan keluarganya, memuji langkah-langkah awal yang diambil polis namun menyatakan beliau akan memfailkan satu tuntutan saman untuk pampasan dan perubahan dari polis.

“Ketika kamu berurusan dengan penduduk kulit hitam, ia seolah-olah tembak dulu tanya kemudian,” jelas beliau. — AFP

Advertisement