Anda di sini

Ketua kultus seks AS dipenjara 120 tahun

Advertisement
 Bekas ahli NXIVM Marc Elliot bercakap kepada wartawan sambil diperhatikan bekas ahli yang lain (dari kiri) Nicki Clyne dan Michelle Hatchette selepas Rainiere dijatuhkan hukuman di New York, kelmarin. — Gambar AFP
NASIB TERBELA: Bekas ahli NXIVM Marc Elliot bercakap kepada wartawan sambil diperhatikan bekas ahli yang lain (dari kiri) Nicki Clyne dan Michelle Hatchette selepas Rainiere dijatuhkan hukuman di New York, kelmarin. — Gambar AFP

NEW YORK: Seorang guru bantuan kendiri disabit bersalah menjalankan sebuah organisasi hamba seks menyerupai kultus yang dikenali dengan nama singkatan NXIVM, dijatuhkan hukuman penjara 120 tahun kelmarin.

Hukuman seumur hidup itu dijatuhkan ke atas Keith Raniere, 60, yang didapati bersalah memaksa wanita agar melakukan hubungan seks dengannya sebagai pemimpin berkarisma NXIVM, kumpulan ajaran kehidupan yang menarik golongan pengikut kaya dan terkenal.

Para pengikutnya bersetuju untuk mengikuti kursus bantuan kendiri selama lima hari yang bernilai AS$5,000, namun segelintir kemudian dieksploitasi dari segi kewangan dan seksual serta dipaksa mematuhi diet pemakanan ketat, sementara  Raniere yang dikenali sebagai 'Vanguard' mengawal mereka, menurut perbicaraan selama enam minggu.

Dia membentuk puak dalam kumpulan itu yang dikenali sebagai DOS, struktur piramid di mana wanita adalah hamba dan Mahaguru Raniere di atas.

Golongan hamba diarahkan untuk melakukan hubungan seks dengan Raniere, menyerahkan maklumat peribadi dan gambar-gambar tertentu, malah sebahagiannya dicop dengan besi panas seperti lembu ketika anggota lain menahan mereka.

Raniere disabitkan pada Jun 2019 atas kesemua tujuh tuduhan yang dikemukakan terhadapnya, termasuk kegiatan haram, penyeludupan seks, peras ugut, konspirasi jenayah dan eksploitasi seksual terhadap seorang budak perempuan berusia 15 tahun.

“Saya hanya seorang kanak-kanak.

"Dia telah meragut keremajaan saya,” menurut wanita itu semasa kenyataan impak dalam perbicaraan hukuman.

Seramai 15 orang, 13 daripadanya wanita, bersuara di mahkamah Brooklyn kelmarin sementara lebih 90 mangsa menulis surat kepada Hakim Nicholas Garaufis.

NXIVM yang disebut sebagai 'Nexium', menarik perhatian peserta dengan menjanjikan kursus perkembangan diri selepas Raniere mengasaskan organisasi tersebut di negeri New York pada 1998.

Namun Raniere, yang ditangkap di Mexico pada 2018, menggantikan kursus latihan pembangunan peribadi dengan sesi seks sebagai ketua untuk sekumpulan kecil 20 wanita dan yang paling muda berusia 15 tahun.

Kisah dramatik itu telah menjadi tajuk dua filem adaptasi di HBO yang baharu ditayangkan, siri dokumentari 'The Vow' dan 'Escaping the NXIVM Cult', filem 2019 arahan Lisa Robinson yang menumpukan kepada keterangan daripada seorang ibu yang berusaha gigih menyelamatkan anak gadisnya daripada organisasi tersebut.

Bercakap di mahkamah kelmarin, Raniere mendakwa amat kesal terhadap kesakitan dan kemarahan yang disuarakan mangsa-mangsanya namun kekal kenyataan tidak bersalah.

“Saya tidak menyesal atas tuduhan tersebut.

"Itu adalah tidak benar,” tambah beliau.

Lima orang lagi telah didakwa dalam kes tersebut dan kesemua mereka mengaku bersalah.

Aktres Amerika kelahiran Jerman Allison Mack yang terkenal dengan wataknya dalam 'Smallville', mengakui dua tuduhan kegiatan jahat pada April 2019.

Pewaris kepada empayar minuman Kanada Seagram Clare Bronfman pula dijatuhkan hukuman bulan lepas selepas turut mengaku bersalah.

Wanita berusia 41 tahun itu dituduh menggunakan lebih AS$100 juta daripada keuntungan anggaran AS$2.6 bilion bagi membiayai kumpulan itu dan dijatuhkan hukuman penjara lebih enam tahun.

Selepas pensabitan Raniere, pendakwa raya New York Richard Donoghue menyatakan prosiding telah mendedahkan Raniere, yang menggambarkan dirinya sebagai cendekiawan dan bijak pandai, adalah sebaliknya.

"Dia seorang pakar manipulasi, penipu dan ketua penjenayah dalam organisasi menyerupai kultus.”

Pendakwa raya telah memohon hukuman seumur hidup, menuduh Raniere menafikan sepenuhnya kesemua tuduhan.

Memetik permohonan pascapensabitan dan e-mel, pihak pendakwaan menyatakan Raniere menyatakan organisasinya sebagai satu perkara yang baik dan mempertikai siapa yang akan menguruskan NXIVM kelak.

Pasukan pembelaan Raniere yang gagal meminta kepada juri agar menumpukan kepada sama ada mereka melihat tindakannya sebagai sah dari segi undang-undang, walaupun mereka mendapati dia tidak bermoral, telah mencadangkan hukuman penjara 15 tahun mungkin sudah memadai. — AFP

Advertisement