Anda di sini

Liverpool, Everton kongsi puncak liga

Advertisement
 Sebahagian dari babak-babak aksi perlawanan Liga Perdana Inggeris di antara pasukan Liverpool menentang Sheffield United yang berlangsung di Anfield. Liverpool menang 2-1. — Gambar AFP
BERTEMBUNG DI UDARA: Sebahagian dari babak-babak aksi perlawanan Liga Perdana Inggeris di antara pasukan Liverpool menentang Sheffield United yang berlangsung di Anfield. Liverpool menang 2-1. — Gambar AFP

LONDON: Liverpool bangkit dari ketinggalan untuk menewaskan Sheffield United 2-1 dan menyertai Everton di tangga teratas Liga Perdana Inggeris pada Sabtu, selepas Manchester City tercicir dua lagi mata di West Ham.

Pada perlawanan awal, Manchester United dan Chelsea terikat tanpa jaringan di Old Trafford, menyebabkan United kini berada di tangga ke-15 liga dan tanpa sebarang kemenangan di tempat sendiri setakat musim ini.

Liverpool, yang beraksi tanpa pemain pertahanan utama, Virgil van Dijk, kini tanpa kalah dari 62 perlawanan liga di Anfield tetapi dipaksa bekerja-keras selepas ketinggalan menerusi penalti awal Sander Berge.

Roberto Firmino mengikat kedudukan tidak lama sebelum rehat dan Liverpool menebus kekecewaan apabila gol Mohamed Salah tidak dibenarkan kerana dikatakan ofsaid apabila Diogo Jota menjaringkan gol kemenangan.

Kemenangan di Anfield bermakna juara bertahan itu mengumpul 13 mata, berkongsi mata dengan kelab jiran, Everton, yang masih mendahului kedudukan dengan perbezaan gol dan kurang satu perlawanan.

“Saya tidak terkejut sama sekali – anda sentiasa harus bekerja menentang Sheffield United,” kata pengurus Liverpool, Jurgen Klopp. “Ia sememangnya sukar untuk (pengurus Sheffield) Chris Wilder terima.

“Penalti mereka bukan dari kekasaran. Sepanjang satu musim, akan ada banyak tempoh sukar, kami juga tidak bernasib baik dan kami harus mengharunginya sekali lagi.”

Pada perlawanan pertama, Phil Foden menyelamat Manchester City dengan menjaringkan gol penyamaan di Stadium London tetapi keputusan seri itu bermakna skuad kendalian Pep Guardiola hanya mengutip lima mata dari empat perlawanan terakhir.

City beraksi tanpa Fernandinho, Aymeric Laporte, Nathan Ake dan  Gabriel Jesus kerana kecederaan, bagaimanapun menguasai permainan namun gagal mempunyai peluang terbaik.

Mereka sudah ketinggalan lima mata di belakang Everton, yang bermain lewat menentang Southampton, dan kelihatan lebih lemah berbanding mana-mana perlawanan sejak musim pertama Guardiola di kelab.

West Ham membuka jaringan dalam separuh masa pertama menerusi tendangan akrobatik Michael Antonio dari umpanan cantik Vladimir Coufal.

Foden, yang dimasukkan pada masa rehat, mengikat kedudukan apabila menyempurnakan hantaran Joao Cancelo.

Tetapi City gagal mengubah penguasaan permainan kepada gol dengan West Ham berterima kasih kepada penjaga golnya, Lukasz Fabianski yang beraksi tangkas menepis beberapa cubaan lewat.

Edinson Cavani membuat penampilan sulung bersama Manchester United ketika menentang Chelsea tetapi kedua-dua pasukan gagal menjaringkan sebarang gol pada perlawanan ketika hujan di Old Trafford.

Dua perlawanan United di tempat sendiri musim ini berkesudahan dengan kekalahan kepada Crystal Palace dan Tottenham.

Marcus Rashford hampir membuka jaringan buat United tetapi rayuan Cesar Azpilicueta untuk satu tendangan penalti buat Chelsea ditolak apabila Harry Maguire mengasaknya sehingga terjatuh semasa satu tendangan percuma.

Keputusan seri itu bermakna United gagal memenangi sebarang perlawanan dari tiga perlawanan pertama di tempat sendiri buat kali pertama sejak musim 1972/1973.

Pada perlawanan lain, gol dari Jairo Riedewald dan Wilfried Zaha membolehkan Crystal Palace menewaskan pendatang baharu liga, Fulham 2-1. — AFP

Advertisement