Anda di sini

RM2.7 juta rokok dan minuman alkohol seludup dirampas, dua lelaki ditahan

Advertisement
 

KUCHING: Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarawak merampas rokok dan minuman alkohol seludup dengan nilai rampasan termasuk cukai kira-kira RM2.7 juta di sebuah rumah di Desa Pujut 2 Permyjaya, Miri pada Jumaat. 

Komander Briged Sarawak PGA SAC Mancha Ata berkata, dua suspek lelaki yang merupakan penjaga stor dan pekerja di rumah tersebut turut ditahan dalam Operasi Libas yang dijalankan sekitar jam 10.30 pagi oleh pasukan dari Cawangan Risik Ibu Pejabat Briged Sarawak dan Batalion 12 PGA. 

"Rumah tersebut disyaki dijadikan tempat penyimpanan rokok dan minuman keras belum lulus cukai Kastam.

"Hasil pemeriksaan lanjut telah menemukan sebanyak 10,590 karton (2,118,000 batang) rokok putih, 416 karton (688,000 batang) rokok kretek, 1,479 kotak bir (tin/botol) pelbagai jenama dan 249 
kotak minuman keras pelbagai jenama yang disimpan di dalam rumah serta dalam muatan lori yang diletakkan di hadapan rumah berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Jelasnya, anggaran nilai keseluruhan rampasan termasuk cukai berjumlah RM2,702,580 iaitu merangkumi nilai rampasan rokok sebanyak RM2,152,660, bir dan minuman keras RM479,920 serta sebuah kenderaan bernilai RM 70,000.

Tambah Mancha, dua suspek yang ditangkap dan barang rampasan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah( IPD) Miri untuk tindakan dan siasatan lanjut. 

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, sepanjang Operasi Libas sejak awal tahun ini sehingga 23 Oktober, Briged Sarawak PGA mencatatkan kejayaan rampasan bernilai RM24,498,413.14 dengan merekodkan sebanyak 72 kes yang melibatkan jumlah tangkapan seramai 165 orang iaitu 109 orang warga tempatan dan 56 orang pendatang tanpa izin.
 

  • oleh
  • Advertisement