Anda di sini

Pemuda maut selepas motosikal bergesel kereta

Advertisement
Keadaan kereta dan motosikal dalam nahas jalan raya pada Isnin. - Gambar ihsan polis
Keadaan kereta dan motosikal dalam nahas jalan raya pada Isnin. - Gambar ihsan polis

KUCHING: Seorang pemuda berusia 20 tahun maut apabila motosikal yang ditunggangnya bergesel dengan kereta sebelum terbabas lalu merempuh batu penanda arah jalan di Kilometer 29 Kampung Sungai Nibong di Simunjan, pada Isnin.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintenden Alexson Naga Chabu berkata mangsa yang maut, Mohammad Nor Azizi Fauzi menunggang motosikal bersama adik iparnya, 15, sebelum motosikal yang dinaiki mereka berselisih dengan sebuah kereta.

Berikutan itu katanya, kedua-dua mangsa terbabas ke tepi jalan sebelum merempuh batu penanda arah jalan dalam kejadian jam 5.45 pagi itu. 

"Kereta tersebut cuba memotong sebuah lori di hadapannya yang membawa muatan buah sawit. 

"Semasa kereta itu berada bersebelahan dengan lori tersebut, motosikal ditunggang mangsa yang datang dari arah bertentangan telah bergesel dengan kereta itu sehingga mengakibatkan cermin sisi dan cermin pintu bahagian pemandu pecah. Mangsa seterusnya terbabas ke tepi jalan dan merempuh batu penanda arah jalan," jelas beliau menerusi satu kenyataan, hari ini.

Batu penanda arah jalan yang dirempuh oleh motosikal tersebut.
Batu penanda arah jalan yang dirempuh oleh motosikal tersebut.

Katanya, mangsa dari arah Kampung Ladong dan menghala ke SMK Sebuyau manakala pemandu kereta tersebut bersama dua orang rakannya dalam perjalanan ke Kuching dari Kampung Kesindu, Sebuyau. 

Beliau turut memaklumkan bahawa lampu hadapan motosikal tersebut dipercayai tidak berfungsi semasa kejadian mengakibatkan pemandu kereta tersebut tidak perasan kehadirannya yang datang dari arah bertentangan.

Jelas beliau, siasatan awal juga mendapati bahawa kawasan sekeliling gelap semasa kejadian kerana tiada lampu jalan.  

Dalam pada itu, Alexson memaklumkan penunggang motosikal berkenaan meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Hospital Simunjan manakala adik iparnya yang cedera di tangan dan kaki, dirujuk ke Hospital Umum Sarawak, Kuching untuk pemeriksaan susulan. 

"Pemandu kereta dan dua orang rakannya pula dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya lagi sambil menambah, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

.

  • oleh
  • Advertisement