Anda di sini

Marin rampas peralatan bom ikan di Pulau Manumpun

Advertisement
 Peralatan yang ditemui disyaki untuk aktiviti bom ikan.
DIRAMPAS: Peralatan yang ditemui disyaki untuk aktiviti bom ikan.

KUNAK: Pasukan Polis Marin Lahad Datu menemukan dan merampas peralatan yang disyaki digunakan untuk aktiviti bom ikan di kawasan Pulau Manumpun, di sini.

Menurut Pegawai Pemerintah Markas Operasi Pasukan Polis Marin Lahad Datu Supt Gan Ping Sin, ketika kejadian kira-kira jam 3.30 petang sepasukan anggota yang membuat rondaan rutin di sekitar pulau itu telah menemukan objek tergantung di pokok bakau.

"Hasil pemeriksaan mendapati terdapat satu karung pukat dalam keadaan tergantung di atas pokok bakau.

"Pemeriksaan lanjut mendapati karung pukat itu mengandungi  peralatan yang disyaki digunakan bagi aktiviti pengeboman ikan iaitu alatan detonator, safety fuse dan serbuk putih dipercayai baja ammonium nitrate," katanya dalam kenyataan di sini.

Menurutnya, rampasan dilakukan keatas peralatan yang dianggar bernilai RM225 itu dan telah dibawa ke Markas Operasi Pasukan Polis Marin Lahad Datu untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

Ping Sin menggalakkan komuniti pesisir pantai menyalurkan maklumat sebarang aktiviti yang tidak berkaitan dan meragukan bagi memastikan keselamatan dan kemakmuran kawasan itu.

Orang ramai boleh menyalurkan maklumat ke aplikasi WhatsApp Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah di nombor 013-2831197 atau berhubung ke Gerakan PPM Lahad Datu di talian 013-9808084.



 

  • oleh
  • Advertisement