Anda di sini

Polis pantau pematuhan SOP, 80 individu diperiksa

Advertisement
 Rafizi memberi penerangan kepada salah seorang peniaga ketika melakukan pemantauan di Pusat Bandar Sandakan.
PATUHI SOP: Rafizi memberi penerangan kepada salah seorang peniaga ketika melakukan pemantauan di Pusat Bandar Sandakan.

SANDAKAN: Susulan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), pihak polis terus melakukan pemantauan bagi memastikan orang awam mematuhi Tatacara Pengendalian Piawai (SOP) yang ditetapkan.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin berkata pasukan jawatankuasa pemantau yang telah ditubuhkan akan sentiasa digerakkan untuk melakukan pemeriksaan SOP di daerah ini.

“Pasukan pemantau PKPB Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan yang diketuai oleh Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah DSP Che Rafizi Che Ramli bersama enam pegawai dan sepuluh anggota telah melakukan pemantauan di sekitar Pusat Bandar Sandakan,” katanya.

Beliau berkata seramai 80 individu yang terdiri daripada 50 lelaki dan 30 wanita telah diperiksa oleh pasukan pemantau berkenaan.

“Selain pemeriksaan pematuhan SOP, pihaknya juga turut melakukan penugasan tertumpu kepada usaha membendung jenayah,” katanya.

Mohd Azhar berkata pasukan pemantau juga turut berjumpa dengan para peniaga di pusat bandar bagi menjelaskan SOP yang perlu dipatuhi sepanjang PKPB.

“Antaranya ialah mematuhi jarak fizikal, mencatat nama, mengambil suhu badan dan mencuci tangan dengan cecair membasmi kuman sebelum membenarkan pelanggan masuk ke premis mereka,” katanya.

Selain itu, katanya ianya juga bertujuan memberi nasihat kepada masyarakat agar mementingkan penjagaan kesihatan diri setiap masa terutamanya ketika berada di tempat tumpuan awam.

Mohd Azhar juga mengingatkan orang ramai agar tidak alpa dalam sentiasa mengamalkan pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal dalam membendung penularan pandemik  COVID-19.

  • oleh
  • Advertisement