Anda di sini

Pertimbang lanjut moratorium sehingga Disember tahun ini

Advertisement
SIMON MOLUBI
SIMON MOLUBI

KOTA KINABALU: Persatuan Kebajikan dan Pendidikan Kadazandusun Murut Sabah (Pekadin) meminta kerajaan menimbang agar moratorium yang berakhir September lepas dilanjutkan tiga bulan lagi sehingga Disember tahun ini.

Naib Presidennya Simon Molubi berkata ini kerana ada anggota masyarakat termasuk di Sabah yang terkesan dengan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), sekali gus menghadapi kesukaran untuk kembali kepada kehidupan sebelum wabak COVID-19.

Dalam satu kenyataan hari ini,  beliau berkata ramai yang kehilangan pendapatan dan pekerjaan dan pada masa yang sama, mereka terpaksa melunaskan kesemua hutang sedia ada.

Oleh itu, Pekadin berharap kerajaan yang berjiwa rakyat dan sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat supaya melanjutkan kemudahan moratorium itu sehingga bulan Disember ini.

Pada 25 Mac lepas, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan penangguhan pembayaran balik pinjaman, penstrukturan semula baki kad kredit dan pinjaman perniagaan selama enam bulan susulan penularan wabak COVID-19.

Penangguhan pembayaran balik pembiayaan itu melibatkan jumlah sekurang-kurangnya RM100 bilion dengan bank tempatan menawarkan penangguhan sehingga enam bulan kepada peminjam individu serta perusahaan kecil dan sederhana bermula 1 April.

Advertisement