Anda di sini

Kegiatan ekonomi dibenarkan sepanjang PKPB dengan pematuhan SOP 

Advertisement
JOACHIM
JOACHIM

KOTA KINABALU: Kerajaan telah mengumumkan bahawa semua kegiatan berkaitan  sektor ekonomi, industri dan perniagaan adalah dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan mematuhi Standard Operasi Prosedur (SOP) yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr Joachim Gunsalam berkata, bagaimanapun kawasan-kawasan lokaliti yang dikenakan arahan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) adalah terkecuali daripada SOP ini.

"Ini bermakna semua sektor ekonomi di kawasan PKPB seperti perkilangan, pembinaan, pertanian, perikanan, perladangan, pembangunan hartanah, logistik, peruncitan, perkhidmatan dan sebagainya adalah dibenarkan untuk beroperasi sepanjang PKPB.

"Pusat-pusat atau premis hiburan, kelab-kelab hiburan, termasuk kelab malam, pub, panggung wayang,  aktiviti perjudian, pasar malam, pasar tani, tamu, rumah urut, pusat refleksologi, rawatan muka (facial, manicure dan pedicure) adalah tidak dibenarkan," katanya pada sesi taklimat kepada pemain-pemain industri sektor perkilangan, di sini.

Beliau berkata, pengusaha dan peniaga serta pemain industri wajib mematuhi peraturan SOP seperti masa operasi perniagaan bermula 6.00 pagi sehingga 6.00 petang.

Katanya, bilangan pekerja perniagaan hendaklah dihadkan kepada hanya 50 peratus pada satu-satu masa.

"Melaksanakan penjarakan sosial satu meter, kawalan jumlah pembeli yang munasabah dalam satu-satu masa. Penetapan satu pintu atau laluan masuk dan satu pintu atau laluan keluar, had masa bagi setiap pembeli tidak lebih 30 minit. 

"Pengimbasan suhu badan oleh pemilik premis.  Saringan suhu badan dilaksana di laluan masuk premis kerja. Suhu badan bacaan melebihi 37.5 darjah celsius dan ke atas tidak dibenarkan masuk dan perlu dirujuk ke Jabatan Kesihatan," katanya.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian berkata antara SOP lain yang perlu diikuti ialah pelanggan dan pekerja diwajibkan untuk memakai pelitup muka dan menggunakan cecair pembasmi kuman.

Katanya, pengusaha premis diwajibkan melakukan kerja-kerja menyahkuman di premis masing-masing secara berterusan.

"Pihak Berkuasa Tempatan telahpun dimaklumkan tentang perkembangan terbaharu ini," katanya.

  • oleh
  • Advertisement