Anda di sini

Keldai akaun didenda RM6,000

Advertisement
 Nadia (tengah) diiringi anggota polis setelah dijatuhi hukuman.
MENGAKU SALAH: Nadia (tengah) diiringi anggota polis setelah dijatuhi hukuman.

SIBU: Mahkamah Majistret di sini semalam menjatuhkan hukuman denda RM6,000 atau enam bulan penjara terhadap seorang wanita atas dua pertuduhan membantu menyembunyikan wang hasil penipuan.

Majistret Muhammad Faizal Che Saad yang mendengar kes, terdahulu menjatuhkan hukuman denda RM3,000 atau tiga bulan penjara bagi setiap pertuduhan setelah menerima pengakuan bersalah tertuduh, Nadia Asyikin Abdullah, 30.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Nadia didakwa membantu menyembunyikan wang sebanyak RM6,000 milik seorang wanita berusia 29 tahun dengan memasukkan wang tersebut ke dalam akaun banknya sendiri.

Beliau dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah bank di Jalan Tuanku Osman pada 15 September 2020, jam 10.09 pagi dan 10.11 pagi.

Bagi kedua-dua pertuduhan, Nadia didakwa mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, pengadu telah menerima panggilan daripada LHDN Kuantan, Pahang dan IPD Kuantan Pahang yang memaklumkan pengadu mempunyai tunggakan cukai sebanyak RM40,500.90.

Pengadu kemudian diminta membuat laporan polis di IPD Pahang kerana nama pengadu telah digunakan oleh sebuah syarikat, selain terlibat dengan pengubahan wang haram dan dadah.

Bagi menyelesaikan masalah itu, pengadu diminta membuat pinjaman bagi menjelaskan waran tangkap sebanyak RM55,000.

Pada 15 September 2020, pengadu telah megeluarkan RM6,000 dan memindahkan wang tersebut ke dalam akaun tertuduh melalui dua transaksi melalui mesin deposit tunai.

Advertisement