Anda di sini

COVID-19: Tiada kes baharu, dua kes sembuh dilaporkan di Sarawak hari ini

Advertisement
 

KUCHING: Jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 di Sarawak kekal 752 setakat ini selepas tiada kes baharu dilaporkan hari ini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) turut memaklumkan tiada kluster baharu dikesan hari ini, namun dua kluster iaitu Kluster Bah Arnab di Daerah Kuching dan Kluster Putra di Daerah Bintulu masih aktif. 

“Dimaklumkan juga terdapat dua kes baru yang telah pulih dan dibenarkan discaj dari hospital pada hari ini. Kes-kes baru yang telah pulih dan dibenarkan discaj ini adalah masing-masing satu dari Hospital Umum Sarawak (HUS) dan Hospital Miri. 

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes postif COVID-19 yang telah pulih dan dibenarkan discaj setakat hari ini adalah seramai 690 orang atau 91.76 peratus dari jumlah keseluruhan kes COVID-19 di Sarawak,” kata Jawatankuasa itu menerusi kenyataan hari ini.

JPBNS menambah, jumlah kes yang masih mendapat rawatan dan diasingkan di hospital adalah seramai 43 orang iaitu 25 kes di wad pengasingan di HUS, tujuh kes di Hospital Miri, tujuh kes Hospital Bintulu dan empat kes di Hospital Sibu.

“Tiada kes COVID-19 yang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) pada hari ini. Tiada juga kes kematian baharu dilaporkan pada hari ini, sekali gus menjadikan jumlah kematian adalah kekal seramai 19 orang atau 2.53 peratus,” ujarnya.

Hari ini juga kata JPBNS, 10 orang di bawah siasatan (PUI) baru dilaporkan dengan lapan PUI yang masih menunggu keputusan ujian makmal.

“Sementara seramai 332 orang di bawah pengawasan (PUS) mendaftar masuk ke hotel untuk menjalani kuarantin, menjadikan jumlah keseluruhan PUS di 19 buah hotel adalah seramai 2,057 orang. 

“Manakala seramai 25,948 PUS telah tamat menjalani tempoh kurantin,” katanya.

Empat daerah iaitu Kuching, Sibu, Bintulu dan Lubok Antu kekal berstatus kuning manakala 36 buah daerah lain kekal dalam status hijau. 

Dalam perkembangan berkaitan, Polis Sarawak mengeluarkan 20 kompaun hari ini kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

JPBNS berkata, 15 notis kompaun yang dikeluarkan itu adalah di daerah Miri, tiga di Kuching dan satu masing-masing di Betong dan Sarikei.

“Manakala pihak Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan telah mengeluarkan 90 amaran lisan, bertulis dan sitaan di kawasan pelbagai seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.

Mengenai pemantauan pematuhan PKPP, JPBNS berkata, sebanyak 1,574 premis dipantau hari ini.

“Operasi pemantauan itu melibatkan pasar raya, restoran, kilang, bank, pejabat kerajaan, penjaja, pasar tani/awam, tempat ibadat, tempat riadah, tapak pembinaan dan lain-lain,” katanya.

Selain itu, kata Jawatankuasa itu, terdapat enam sekatan jalan raya di lima daerah bersempena dengan Ops Benteng iaitu di Lundu (2), Bau (1), Serian (1), Sri Aman (1) dan Lubok Antu (1). 

“Daripada enam sekatan jalan raya tersebut, sebanyak 1,866 jumlah kenderaan diperiksa,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement