Anda di sini

Nahas maut di landasan Thailand

Advertisement
 Bangkai bas yang dilanggar kereta api diangkat dengan kren dari atas landasan berhampiran stesen kereta api Khlong Kwaeng Klan di wilayah Chachoengsao, timur Bangkok semalam. — Gambar AFP
TRAGEDI: Bangkai bas yang dilanggar kereta api diangkat dengan kren dari atas landasan berhampiran stesen kereta api Khlong Kwaeng Klan di wilayah Chachoengsao, timur Bangkok semalam. — Gambar AFP

BANGKOK: Sekurang-kurangnya 17 penumpang terkorban dan lebih 12 lagi tercedera semalam apabila sebuah bas dilanggar kereta api di Thailand, menurut pihak berkuasa.

Penumpang bas itu sedang dalam perjalanan ke sebuah tokong di wilayah Cha Choeng Sao, dua jam perjalanan dari bandar utama Bangkok, bagi satu acara menandakan tamatnya Lent Buddha, kata seorang ketua polis daerah.

“Angka kematian yang kami dapati setakat ini adalah 17 orang,” menurut beliau sambil menambah bahawa kemalangan berlaku sekitar jam 8 pagi waktu tempatan.

Gabenor wilayah Maitree Tritilanond memberitahu wartawan bahawa setakat ini kira-kira 29 disahkan tercedera.

Imej awal serahan anggota penyelamat menunjukkan besi dan serpihan berselerakan, dengan mayat-mayat bergelimpangan di atas landasan berserta harta benda mereka yang bertaburan.

Bas itu terbalik beberapa kali akibat impak pelanggaran dan bahagian atasnya tercabut.

Anggota penyelamat menyatakan kren diperlukan bagi mengalihkan bangkai bas yang remuk teruk itu.

Angka kematian dan kecederaan dijangka bertambah.

Kemalangan maut sebegini biasa terjadi di Thailand, yang seringkali mendahului senarai jalan raya paling berbahaya di dunia, dengan pemanduan yang terlalu laju, memandu dalam keadaan mabuk dan penguatkuasaan undang-undang yang lemah merupakan antara faktor penyumbangnya.

Menurut kepada satu laporan pada 2018 oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia, Thailand merekodkan kematian jalan raya kedua tertinggi di dunia.

Walaupun majoriti mangsa adalah penunggang motosikal, kemalangan bas melibatkan beberapa kumpulan pelancong dan buruh pendatang sering kali menjadi tajuk utama akhbar.

Pada Mac 2018, sekurang-kurangnya 18 orang telah terkorban dan beberapa orang tercedera ketika sebuah bas membawa orang yang pulang dari percutian di timur laut Thailand terbabas dari jalan raya lalu merempuh sebatang pokok. — AFP

Advertisement