Anda di sini

Sofia Vergara, aktres raih pendapatan tertinggi di dunia

Advertisement
 Gambar fail bertarikh 9 Februari 2020 ini menunjukkan aktres Sofia Vergara menghadiri Parti Oscar Vanity Fair 2020 di Beverly Hills, California. Vergara mengungguli senarai aktres berpendapatan lumayan tahun ini, menurut Forbes. – Gambar AFP
LUMAYAN: Gambar fail bertarikh 9 Februari 2020 ini menunjukkan aktres Sofia Vergara menghadiri Parti Oscar Vanity Fair 2020 di Beverly Hills, California. Vergara mengungguli senarai aktres berpendapatan lumayan tahun ini, menurut Forbes. – Gambar AFP

BINTANG ‘Modern Family’ Sofia Vergara menduduki tempat teratas dalam senarai Forbes bagi aktres dengan pendapatan tertinggi di dunia untuk mengetuai cabaran oleh bakat skrin kecil pada tahun yang menyaksikan ‘kegelapan’ pawagam, kata majalah tersebut.

Vergara – yang kini juga merupakan seorang hakim dalam ‘America’s Got Talent’ (AGT) – mendapat AS$43 juta dalam tempoh 12 bulan yang lalu dalam bentuk gaji dan iklan. Beliau naik dari tempat kedua pada tahun lepas.

Aktres kelahiran Colombia berusia 48 tahun itu mendapat AS$500,000 bagi setiap episod untuk musim terakhir bagi siri yang memenangi anugerah Emmy ‘Modern Family’, yang berakhir pada awal tahun ini.

Forbes menganggarkan beliau akan mendapat ‘sekurang-kurangnya AS$10 juta setiap musim’ bagi ‘AGT’, salah satu program pertandingan realiti paling popular di Amerika Syarikat.

Pandemik koronavirus telah melumpuhkan Hollywood yang memaksa kru untuk menghentikan penerbitan dan menutup pawagam, seterusnya menyebabkan penangguhan banyak filem berbajet besar.

Ramai bintang filem turut memperolehi pendapatan daripada sebahagian daripada keuntungan, bermakna jika filem tidak dikeluarkan di pawagam, pendapatan mereka akan menjunam.

Bagaimanapun, pemenang anugerah Oscar, Angelina Jolie menduduki tempat kedua dalam senarai Forbes dengan AS$35 juta.

Tetapi aktres yang memperolehi kebanyakan pendapatan mereka dari televisyen dan/atau khidmat penstriman merupakan sebahagian besar daripada senarai tersebut.

Bintang ‘Wonder Woman’ Gal Gadot menduduki tempat ketiga dengan AS$31 juta, tetapi beliau memperolehi kebanyakan pendapatannya dari filem terbitan Netflix, ‘Red Notice.’

Pelakon utama ‘Grey’s Anatomy’ Ellen Pompeo menduduki tempat kelapan dengan AS$19 juta, manakala bintang ‘The Handmaid’s Tale’ Elisabeth Moss di tempat kesembilan dengan AS$16 juta.

Seorang lagi pemenang anugerah Oscar, Viola Davis membuat penampilan pertamanya dalam senarai 10 teratas.

Bintang ‘How To Get Away with Murder’ itu – yang tidak lama lagi akan berlakon dalam adaptasi Netflix bagi pementasan arahan August Wilson ‘Ma Rainey’s Black Bottom’ – menduduki tempat ke-10 dengan AS$15.5 juta.

Malah, Meryl Streep (tempat kelima) yang disanjung ramai mengaut sebahagian besar pendapatannya sejak setahun lalu daripada filem untuk khidmat penstriman atau watak televisyen.

Keseluruhannya, 10 aktres yang menerima pendapatan tertinggi di dunia pada 2020 memperolehi AS$254 juta dalam tempoh 12 bulan sehingga Jun lalu, kata Forbes.

Jumlah itu adalah penurunan sebanyak 20 peratus daripada tahun lepas.

Sepuluh pelakon lelaki yang menerima pendapatan tertinggi memperolehi hampir dua kali ganda jumlah tersebut – hampir AS$550 juta – dalam tempoh yang sama.

Senarai pada bulan lepas bagi pelakon lelaki didahului Dwayne ‘The Rock’ Johnson dengan AS$87.5 juta.

10 AKTRES

BERPENDAPATAN

PALING TINGGI

DI DUNIA

1. Sofia Vergara (AS$43 juta)

2. Angelina Jolie (AS$35.5 juta)

3. Gal Gadot (AS$31.5 juta)

4. Melissa McCarthy (AS$25 juta)

5. Meryl Streep (AS$24 juta)

6. Emily Blunt (AS$22.5 juta)

7. Nicole Kidman (AS$22 juta)

8. Ellen Pompeo (AS$19 juta)

9. Elisabeth Moss (AS$16 juta)

10. Viola Davis (AS$15.5 juta)

Advertisement