Anda di sini

Wanita enggan pakai pelitup muka, maki kakitangan farmasi didenda RM1,000

Advertisement
 

SIBU: Tindakan seorang wanita yang enggan memakai pelitup muka ketika berada di sebuah farmasi membawa padah apabila dia dikenakan denda RM1,000 di sini pada Isnin.

Ini berikutan kedegilan wanita terbabit yang enggan memakai pelitup muka dan didapati melanggar prosedur pengendalian standard (SOP) Perintah Kawal Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada jam 2.30 petang, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Jonathan Ringgit berkata, satu rakaman video yang tular menunjukkan wanita itu memaki seorang kakitangan di kaunter farmasi di Jalan Kampung Nyabor di sini.

"Polis yang bertindak berdasarkan rakaman video itu telah menjalankan siasatan yang menjurus kepada penangkapan wanita berusia 48 tahun itu," katanya ketika dihubungi.

Katanya, siasatan mendapati insiden itu berlaku apabila seorang kakitangan farmasi berkenaan menegur wanita berkenaan kerana tidak memakai pelitup muka di premis.

"Wanita itu juga marah apabila dia dipanggil dengan panggilan 'auntie' (makcik) sehingga menyebabkan satu pertengkaran mulut tercetus," jelasnya.

Katanya, dia berjaya dikesan susulan satu laporan polis yang diterima pada 2.30 petang pada 5 Oktober.

Katanya lagi, soal siasat mendapati wanita itu ditegur kerana tidak memakai pelitup muka ketika memasuki premis farmasi tersebut.

"Suspek menyatakan bahawa dia berang kerana dipanggil sebagai 'auntie' dan tidak berpuas hati serta mengaku mempunyai insomnia (sukar tidur malam)," katanya.

Jelasnya lanjut, wanita itu juga mudah meninggikan suara dan ketawa sendiri ketika disoal siasat.

Katanya, suspek didapati melakukan kesalahan di bawah Peraturan 10 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (No.8) 2020 kerana ingkar SOP PKPP.

"Dia yang telah diterangkan mengenai kesalahannya tidak mempunyai rekod jenayah lampau diberi tempoh 14 hari untuk menjelaskan pembayaran kompaun di kaunter KKM Sibu," tambah Stanley.

  • oleh
  • Advertisement