Anda di sini

Pelajar IPT didakwa edar ganja terlepas hukuman gantung

Advertisement
Aziemah (dua kanan) dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan mengedar ganja. Turut kelihatan, ibu bapa dan peguamnya, Satinder (dua kiri).
Aziemah (dua kanan) dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan mengedar ganja. Turut kelihatan, ibu bapa dan peguamnya, Satinder (dua kiri).

KUCHING: Seorang penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) kini boleh menarik nafas lega apabila dia terlepas hukuman gantung sampai mati setelah Mahkamah Tinggi di sini, hari ini melepas dan membebaskannya daripada tuduhan mengedar 3,155 gram ganja. 

Hakim Azhahari Kamal Ramli memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal menubuhkan kes prima facie terhadap tertuduh, Aziemah Mohamad Fuzzie, 25. 

"Selepas membuat penilaian maksimum dan mengambil semua keterangan daripada 14 saksi pendakwaan, tertuduh dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri," ujar Azhahari semasa memberikan keputusan mengenai kes tersebut. 

Mengikut pertuduhan, dia didakwa mengedar 3,155 gram ganja pada 19 Mac 2018, jam 2.20 petang di sebuah rumah terletak di University Garden, Samarahan Expressway, di sini. 

Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, tertuduh ketika berada dalam kelas di IPT, menerima panggilan daripada pihak perkhidmatan kurier yang mengarahkannya untuk mengambil bungkusan yang dihantar ke alamat rumah tersebut. 

Setelah menerima bungkusan tersebut, tertuduh dengan serta merta disoal siasat oleh pegawai penguatkuasa dari Jabatan Kastam Diraja Malaysia.  

Sementara itu, Hakim Azhahari dalam penghakimannya menjelaskan, mahkamah mendapati bungkusan dadah tersebut telah berada di bawah kawalan dan penjagaan Polis Bantuan dan sudah dibuka semasa ia transit di Pusat Mel & Kurier Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. 

Jelas beliau yang bersetuju dengan penghujahan pihak pembelaan, terdapat pengesahan bahawa bungkusan tersebut diperiksa dan dicop dengan perkataan "lulus" di bawahnya, yang bertarikh 15.3.2018. 

"Mahkamah juga mendapati bungkusan itu dikirim oleh sebuah syarikat tukang kunci yang dipercayai sah kewujudannya. 

"Justeru, bungkusan tersebut dipercayai tidak mengandungi sebarang barangan haram sehingga ia sampai ke Hab Antarabangsa Kuala Lumpur.

Pihak pendakwaan juga gagal memanggil pengirim bungkusan yang sebenar untuk memberikan keterangan," ujar Azhahari.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori. 

Tertuduh diwakili peguam, Satinder Singh Sandhu, Muhammad Izayyeem Azim dan Lim Vui Seng. 

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Shahrina Noor Azman. 

  • oleh
  • Advertisement